KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memilih untuk mengenepikan perbezaan dan menamatkan persengketaan politik lebih 40 tahun lamanya.
Menyifatkan ia sebagai sejarah penting dan perkembangan mutakhir negara, bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, rakyat tidak boleh lagi membuang masa dengan mencari kesalahan dan perbezaan masing-masing tetapi terus meraikan kebersamaan
Permuafakatan serta kerjasama ini tercapai bukan dengan hubungan serta usaha sehari dua tetapi percaya ianya telah dijalin, dicerna dan dipupuk sekian lama oleh kedua-dua pihak dan para pemimpin pada setiap peringkat demi menjalinkan kerjasama dan muafakat.
Ia penting untuk pembangunan masyarakat Malaysia yang mampan serta meningkatkan tadbir urus yang lebih baik dan telus, katanya.
Abdul Khalid berkata, peristiwa semalam telah menyaksikan dua buah parti politik terbesar serta matang bergabung tenaga untuk memelihara kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera seperti yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia
“Himpunan Penyatuan Ummah 14hb September 2019 merupakan satu lakaran sejarah terpenting buat rakyat Malaysia sekaligus dijangka akan mengubah landskap politik di dalam negara dan diharapkan akan menyemarakkan lagi sistem demokrasi di dalam negara.
“Kestabilan politik ummah di Malaysia insya’Allah akan mempercepatkan agenda memelihara kebajikan rakyat melalui usaha yang diredhai Allah SWT,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.
Tambah Abdul Khalid, pengalaman lalu bolehlah dijadikan teladan dalam membina tata cara baharu bersama untuk memastikan rakyat mendapat keadilan dan terbela.
“Sokongan luar biasa membuktikan rakyat memang mendambakan wadah sebegini. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha yang kita lakukan dan kepadaNya jua kita berserah,” ujarnya. – MalaysiaGazette