KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas memilih menggunakan terma Muafakat Nasional kerana ia merupakan permuafakatan yang lebih besar daripada sebuah persefahaman politik.
Ia adalah ikhtiar nasional kedua-dua parti untuk menangani pelbagai isu negara rentas politik termasuklah pendirian tentang pelbagai isu kemanusiaan, ekonomi, pendidikan, federalism, isu antarabangsa dan sebagainya.
Tujuannya untuk mencetuskan ‘national discourse’ pada skala dan impak yang tidak pernah terlihat sebelum ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia tidak lagi boleh dibiarkan berkisar tentang politik personaliti dan ditentukan hala tujunya oleh hanya seorang Perdana Menteri, sebaliknya memerlukan wacana nasional pelbagai dimensi yang lebih agresif.
Selain itu, sifat persefahaman UMNO dan Pas adalah meraikan perbezaan, ia tidak akan diikat dengan persefahaman yang mengikat dan sempit.
“Ini kerana UMNO tahu Pas memang berbeza dan Pas pun tahu UMNO itu sangat berlainan. UMNO wujud dengan nilai dan ideologinya. Begitu juga Pas dengan kepercayaan dan nilainya.
“Jadi kedua-dua menyedari had dan keterbatasan masing-masing. Cuma kedua-duanya berikhtiar untuk mencari titik temu yang boleh melonjakkan ‘a national solution to a national issue’. Ia tidak seperti perikatan politik yang lain.
“Semuanya terikat dengan keputusan bersama dan segala perbezaan itu, selalu dilihat sebagai melanggar semangat
kerjasama politik. Kerjasama yang terlalu ‘prescriptive’ sifatnya, akan menutup ruang kreativiti, kepelbagaian perspektif dan citra yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Khaled lagi, Muafakat Nasional ini luwes sifatnya kerana bukan hanya eksklusif untuk UMNO dan Pas serta bukan sekadar kesefahaman parti politik.
“Gelarnya pun sudah Muafakat Nasional. Maka ia akan membuka ruang dengan seluas-luasnya kepada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pelbagai pergerakan madani untuk bersama-sama UMNO dan Pas dalam membangunkan
konsensus nasional dalam pelbagai isu.
“Malah parti dari Sabah dan Sarawak, dan pelbagai pertubuhan sivil sangat dialu-alukan menyertai Muafakat Nasional ini. Jadi kepada sesiapa di luar sana yang melihat kerjasama UMNO dan Pas ini hanya tentang Melayu dan Islam, mereka sangat tersasar,” menurutnya.
Tegas beliau, UMNO dan Pas jauh lebih ‘sophisticated’ dan tidak akan sama sekali terjerumus dalam perangkap kaum dan agama yang digambarkan oleh Pakatan Harapan.
Melalui Muafakat Nasional ini, segala keputusan dasar berdasarkan konsensus mestilah dihormati tetapi pelaksanaan keputusan tersebut terpulanglah kepada kebijaksanaan pelbagai pihak yang terlibat.
Kesimpulannya, kata Khaled, inti pati Muafakat Nasional ini menawarkan perubahan yang drastik
dalam tata kelola politik di negara ini dengan UMNO dan Pas sedang meneroka jalan yang tidak pernah diterokai sebelum ini.
“Kepada semua rakyat Malaysia, berikan kesempatan untuk UMNO dan Pas menterjemahkan kerjasama yang disandarkan kepada Muafakat Nasional ini.
“Jika ia tidak meyakinkan, anda boleh menolaknya dalam pilihanraya akan datang. Tetapi untuk tidak memberikan ia ruang bagi diperkenalkan, dinilai dan diuji, ia adalah petanda bahawa demokrasi Malaysia masih jauh dari dewasa dan berhikmah,” ujarnya. – MalaysiaGazette