Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (bawah, dua kanan) diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Yb Khalid Samad (kanan) menyampaikan piala kepada pemenang kategori Universiti (lelaki) yang diwakili Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Aini Ideris (dua kiri) pada Kejohanan The Putrajaya Boat Race 2019 di Kelab Tasik Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 15 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Sejak beberapa hari lepas viral dakwaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meluluskan sebuah projek bernilai RM450 juta di Kelantan melalui rundingan terus.

Walaupun pada awalnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menidakkan dakwaan tersebut namun kemudian beliau memberitahu pemberita ada kemungkinan beliau perlu menyemak terlebih dahulu.

“Tidak, saya tidak tahu langsung tentang perkara ini. Saya tidak pernah lulus apa-apa seperti itu.

“Tetapi mungkin saya terpaksa menyemak kembali tentang perkara ini kerana mungkin ada kesinambungan daripada kerajaan terdahulu.

“Seperti yang kamu maklum, sejak PH ambil alih kita telah hentikan banyak projek bagi tujuan kajian terlebih dahulu bagi pastikan ada keperluan atau sebaliknya.

“Namun masa yang telah diambil oleh kita hampir lebih setahun, di mana ada juga impaknya seperti ramai hilang kerja, kontraktor kerugian dan sebagainya.

“Yang ini pula, saya tidak pasti kes apa pula. Biar saya semak terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ‘The Putrajaya Boat Race 2019’ di Tasik Putrajaya.

Tun Mahathir menjawab pertanyaan berhubung surat dikatakan daripada Kementerian Kewangan yang mendakwa Perdana Menteri telah menulis sepucuk surat pada 9 Julai mengenai kelulusan projek berkenaan secara rundingan terus.

Surat bertarikh 26 Julai itu yang tersebar di media sosial mengatakan Kementerian Kewangan bersetuju syarikat tertentu dilantik melalui rundingan terus bagi pembinaan bangunan Gunasama Persekutuan di Tunjong, Kota Bharu Kelantan dengan kos RM450 juta.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Razlan Rafii menyiarkan gambar surat berkenaan dengan satu siri soalan di Twitter hari ini.

“Saya nak tanya pada Kementerian Kewangan, adakah surat ini palsu? Kenapa ada lagi rundingan terus?

“Apa logik projek ini untuk diberi rundingan terus? Siapakah empunya projek ini?” soalnya. –MalaysiaGazette