Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata, KKR itu telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi mendapat kelulusan.
“Semua cadangan dan pandangan yang perlu dibuat telah dianalisis oleh pihak PTPTN dan cadangan Kertas Konsultasi Rakyat itu juga telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya.
“Selain itu, di pihak PTPTN juga telah menerima komen berhubung KKR daripada Kementerian Pendidikan dan kami perhalusi serta perbaiki, jadi saya berharap pihak kabinet dapat buat keputusan segera berhubung Kertas Konsultasi Rakyat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 peringkat Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (Cina) Sin Kang, di sini hari ini.
KKR adalah satu dokumen yang diwujudkan oleh PTPTN pada Mei lepas bagi membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik dalam menggubal dasar berkaitan perbadanan berusia 22 tahun itu.
Pada majlis itu, PTPTN turut menyampaikan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 520 anak-anak asnaf melibatkan 13 kawasan Parlimen di Pulau Pinang menerusi peruntukan wakalah zakat PTPTN berjumlah RM52,000.
Menerusi sumbangan itu, setiap pelajar terpilih menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka PTPTN melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri bagi membantu golongan asnaf dan galakan mereka untuk memulakan penabungan. – MalaysiaGazette