Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah pada Program Countdown to Special Voluntary Disclosure di Menara Hasil, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 16 SEPTEMBER 2019

PETALING JAYA- Kerajaan akan melakukan kajian mendalam terhadap respons insiden kebakaran dua loji minyak milik Aramco dua hari lepas.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kesan paling ketara yang perlu ditanggung kerajaan adalah peningkatan subsidi bahan api selari dengan peningkatan harga minyak global akibat insiden tersebut.

Bagaimapun kerajaan jelasnya, tidak mahu terburu-buru untuk membuat sebarang keputusan.

“Kesan terhadap Petronas pastilah hasil mereka akan naik tetapi untuk negara dan pengguna biasa, ia akan memberi kesan kepada peningkatan subsidi.

“Kerajaan perlu mengkaji dengan lebih mendalam kerana adakah ini (peningkatan harga minyak global akibat insiden tersebut) adalah reaksi spontan atau adakah ia akan berlarutan dalam masa yang panjang.

“Saya tidak mahu membuat reaksi hanya berdasarkan perkembangan selama dua atau tiga jam atau sehari kerana ianya satu tempoh yang sangat pendek.

“Buat masa ini, (harga bahan api bersubsidi) masih sama.

“Kita kena tengok perkara-perkara lain dan membuat pertimbangan berdasarkan asas yang lebih kukuh.

“Beri masa kepada kerajaan untuk membuat percaturan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kiraan menurun Program Khas Pengakuan Khas (SVDP) Lembaga Hasil Dalam Negeri di sini hari ini.

Harga minyak global melonjak lebih 15 peratus, paras tertinggi dalam tempoh empat bulan selepas serangan terhadap loji pemprosesan minyak Arab Saudi pada Sabtu menyebabkan lebih 5 peratus bekalan minyak global terjejas.

Niaga depan minyak mentah Brent melonjak lebih 15 peratus kepada US$71.95 pada pembukaan, manaka minyak mentah Amerika Syarikat naik 15 peratus menjadikannya US$63.34 setong. Kedua-duanya mencatatkan penanda aras tertinggi sejak Mei lalu.

Senario lonjakan itu bermula apabila Presiden AS, Donald Trump membenarkan pengeluaran minyak dari Rizab Petroleum Strategik AS (SPR) jika keadaan memerlukan dalam kuantiti yang ditentukan kelak berikutan serangan terbaharu itu.

Syarikat pengeluar minyak Arab Sausi, Aramco berkata, serangan tersebut telah menjejaskan pengeluaran 5.7 juta tong minyak sehari.

Aramco tidak memberikan tempoh masa untuk bekalan pulih, bagaimanapun sumber memberitahu Reuters loji pemprosesan mengambil masa beberapa minggu untuk beroperasi seperti biasa.- MalaysiaGazette