Charles Santiago.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Klang (DAP), Charles Santiago melahirkan rasa kecewa, terkilan dan sedih apabila terpaksa disoal siasat pada Hari Malaysia yang merupakan detik bersejarah bagi setiap rakyat tidak kira lapisan di negara ini.

Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September disambut oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan idelogi politik adalah memperingati detik sejarah penubuhan Malaysia.

Menurut Charles beliau terpaksa memberikan keterangan kepada polis selama satu setengah jam setengah hari ini berikutan laporan polis yang dibuat oleh pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik.

Selain itu, sebanyak 300 laporan polis terhadap wakil rakyat itu telah dibuat oleh para penyokong Dr Zakir.

“Hari ini Hari Malaysia tapi lihatlah nasib seorang wakil rakyat yang telah diundi oleh pengundi di negara ini, yang terpaksa ke balai polis bagi soal siasat kerana ada orang ‘asing’ boleh pecah belahkan perpaduan kita.

“Hari ini Hari Malaysia tetapi ada orang asing telah berjaya pecah belahkan perpaduan yang terbina atas darah, keringat serta kompromi semua bilangan bangsa dan agama di negara ini selama lebih 62 tahun tergugat.

“Ada sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak betul langsung di sini. Sebelum memikul tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, saya telah mengambil ikrar sumpah setia kepada rakyat demi kepentingan negara.

“Oleh yang demikian, atas rasa tanggungjawab itu, saya telah keluarkan kenyataan mendesak Kabinet untuk berbincang dan memutuskan nasib Dr Zakir Naik yang banyak mencampuri urusan rakyat di negara ini.

“Tetapi akhirnya saya dipanggil pada hari ini untuk disoal siasat kerana memperjuangkan perpaduan di Malaysia.

“Dr Zakir Naik seorang pendakwah terkenal yang mempunyai pengaruh ke atas masyarakat Muslim Melayu di negara ini, persepsi yang dibawa itu mungkin membawa kesan kepada kepada yang bukan Muslim di negara ini, kita biarkan seorang ‘asing’ sepertinya untuk musnahkan perpaduan itu.

“Sememangnya ada sesuatu tidak kena di sini kerana saya kena soal seperti ini,” luahnya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Bukit Aman sebentar tadi.

Kata Charles, beliau berpegang dengan tindakannya dalam isu Zakir Naik dan tidak akan sesekali tunduk dengan kehendak pendakwah itu sebaliknya akan berteruskan memperjuangkan apa yang betul.

“Bagaimana seorang pendakwah sepertinya menyoal tentang kesetian masyarakat India kononnya kami lebih setia dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi?

“Cuba tanya kepada masyarakat India sendiri, ke mana hendak kami pergi? Kami mati sekalipun di tanah ini, tanah tumpah darah, siapa Zakir Naik untuk persoal tentang itu?” tegasnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast