Pusat Perubatan Prince Court

KUALA LUMPUR – IHH Healthcare Bhd mahu membeli keseluruhan kepentingannya Prince Court Medical Centre Sdn Bhd (PCMC) pada harga RM1.02 bilion yang akan dibuat secara tunai.

IHH berkata, anak syarikat miliknya, Pantai Holdings Sdn Bhd (PHSB) sudah menandatangani perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd (PMV), anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, bagi pemerolehan saham yang terdiri daripada 100 juta saham dan 35,176 saham keutamaan boleh tebus.

Pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, kata IHH dalam satu notis kepada Bursa Malaysia.

Menurut IHH, menyedari kos pelaburan asal PMV pada PCMC pada 1 Ogos tahun lepas adalah RM1.09 bilion, anggaran nilai pasaran saksama 100% ekuiti PCMC adalah antara RM960.7 juta dan RM1.08 bilion pada 31 Mac , 2019.

Unjuran itu dibuat oleh penilai ekuiti bebas, PricewaterhouseCoopers Capital Sdn Bhd.

IHH berkata, pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan aliran tunai kumpulan itu.

Berdasarkan penyata kewangan terkini PCMC yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, ia mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM51 juta, manakala aset bersihnya berjumlah RM486.1 juta.

“Cadangan pengambilalihan ini membolehkan ia mengukuhkan kedudukannya dalam segmen penjagaan kesihatan swasta Malaysia dan memperluaskan perkhidmatannya,” katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, ia membolehkan IHH menguasai pasaran pelancongan perubatan yang semakin meningkat di Lembah Klang.

Pengambilalihan itu juga membolehkan IHH memanfaatkan rangkaian hospitalnya yang luas dengan penyampaian sinergi yang berpotensi, kata IHH.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pelupusan itu akan membolehkan PCMC mendapat manfaat sepenuhnya integrasi operasi IHH di Malaysia dan rangkaian globalnya yang lebih luas.

“Urus niaga ini adalah sejajar dengan mandat baharu dan menyediakan Khazanah dengan kecairan untuk keperluan modal pelaburan masa depan kami,” kata Shahril Ridza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast