Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd, Datuk Haris Fadzilah Hassan (tiga kiri) menyaksikan Pemangku Ketua Pegawai Ekskutif Delima Oil Products, Shammim Azad Kamruzaman (dua kiri) dan Naib Presiden Perkhidmatan Makanan dan Pembangunan Jenama DKSH Malaysia, Michael Chew (dua kanan) menukar dokumen perjanjian persefahaman di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR- FGV Holdings Bhd. (FGV) menjangkakan cuaca berjerebu ketika ini bakal menyebabkan nisbah perahan minyak sawit (OER) pada bulan hadapan menyusut sebanyak 0.2 peratus sehingga 0.5 peratus.

Bagaimanapun menurut Ketua Pegawai Operasi Sektor Peladangan dan Ketua Kluster Huluan Sawit, Syed Mahdar Syed Hussin, penyusutan tersebut tidak akan memberi kesan besar kepada perolehan kumpulan.

Ketua Pegawai Operasi Sektor Perladangan FGV, Syed Mahdhar Syed Hussain.

 

Tambah Syed Mahdar OER oleh FGV adalah kira-kira 20 peratus dan menghasilkan minyak sawit mentah sebanyak 12,000 sehingga 15000 setan sehari.

“Saya tidak boleh menghentikan hujan atau jerebu tetapi kita akan mencari jalan bagaimana untuk mengukuhkan operasi dan menguruskan isu-isu berkaitan alam sekitar ini,” katanya semasa sidang media selepas menandatangani perjanjian pengedaran di antara Delima Oil Products Sdn. Bhd. (Delima Oil) dengan DKSH (Malaysia) Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Di bawah perjanjian tersebut, DKSH akan meluaskan pengedaran produk hiliran FGV ke dalam sektor hotel, restoran dan kafe.

Ia merupakan sebahagian daripada rancangan strategik FGV untuk mengembangkan perniagaan hilirannya dengan menembusi pasaran perkhidmatan yang belum pernah diterokai sebelum ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan.

Dalam pada itu, Haris ketika ditanya mengenai situasi di Kalimantan yang telah menyebabkan jerebu teruk di Malaysia dan Singapura, Haris berkata, beliau tidak boleh mengesahkan atau menafikan syarikat berkenaan terlibat dengan kebakaran hutan tersebut.

Jelasnya, setakat ini masih belum ada sebarang laporan terhadap kes kebakaran berlaku di ladang-ladang milik mereka di Indonesia.

“FGV ada usahasama dengan Tabung Haji di Kalimantan Utara dan kami juga mempunyai ladang di Pontianak.

“Setakat ini, kami belum menerima apa-apa laporan tetapi keadaan di Indonesia agak rumit kerana terdapat pekebun-pekebun kecil yang memiliki ladang di kawasan berhampiran syarikat peladangan yang besar.

“Saya rasa kami ada data tetapi saya tidak boleh cakap sama ada ianya berlaku atau tidak kerana tiada sebarang laporan terhadap kes kebakaran bagi semua syarikat kami di sana.

“Bagi ladang di Malaysia, memang kami tidak melakukan pembakaran terbuka,” ujarnya.

Minggu lepas, kerajaan Indonesia menamakan empat syarikat berkaitan Malaysia yang menyebabkan kebakaran hutan di negara tersebut.

Salah satunya, pemilik PT Adei Plantation & Industri, Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) yang mengaku bertanggungjawab dan kesal dengan insiden tersebut.

Tiga lagi syarikat adalah anak syarikat IOI Corporation Bhd., Sukses Karya Sawit; anak syarikat Sime Darby Plantation, Sime Indo Agro dan anak syarikat TDM Bhd. , Rafi Kamajaya Abadi.

TDM adalah syarikat milik kerajaan negeri Terengganu.- MalaysiaGazette