KUALA LUMPUR – Jumlah perbelanjaan kerajaan bagi 2020 dijangka lebih tinggi sebanyak RM295.1 bilion bagi menyokong ekonomi dengan RM240.1 bilion atau 81 peratus untuk perbelanjaan operasi, manakala baki RM55 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

RHB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan berkata, walaupun jumlah belanjawan itu sepatutnya berada pada 6.2 peratus lebih rendah daripada perbelanjaan 2019, bagaimanapun ia 6.3 peratus lebih tinggi selepas mengecualikan pembayaran balik cukai sekali sahaja sebanyak RM37 bilion yang diperuntukkan tahun lepas.

Perbelanjaan operasi dijangka menerima peruntukan lebih tinggi sebanyak 7.7 peratus bagi 2020, tidak termasuk item sekali tahun lepas, manakala perbelanjaan pembangunan dijangka berkembang sedikit sebanyak 0.5 peratus di bawah persekitaran operasi biasa.

Mengenai gaji dan emolumen penjawat awam, firma penyelidikan itu berkata ia akan mencakupi sebahagian besar daripada perbelanjaan operasi sebanyak 26.1 peratus daripada belanjawan, pertumbuhan sederhana sebanyak lima peratus kepada RM86.1 bilion pada 2020, selepas mengambil kira beberapa kenaikan dan bonus untuk penjawat awam.

Komponen perbelanjaan pencen dan gratuiti juga akan terus meningkat sebanyak enam peratus kepada RM28 bilion pada 2020.

“Pembekuan pengambilan penjawat awam oleh kerajaan sejak 2015 telah menjejaskan beberapa segmen sektor awam, terutamanya dalam keselamatan dan penjagaan kesihatan, sehingga sukar untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam perkhidmatan tersebut.

“Oleh itu, kerajaan mungkin mempertimbang untuk menarik balik pembekuan dalam sektor tersebut, ia akan menghasilkan emolumen lebih tinggi pada 2020,” kata firma itu.

RHB berkata pembekalan dan perkhidmatan mungkin akan terus dikurangkan lagi pada 2020, selepas pengurangan 17.6 peratus tahun ini, memandangkan kerajaan terus mengamalkan sistem tender terbuka untuk semua perolehan awam.

Sebaliknya, ia berkata subsidi dan bantuan sosial mungkin akan dinaikkan pada 2020, kerana kerajaan berazam untuk merapatkan jurang pendapatan dan mengurangkan kos sara hidup yang meningkat bagi golongan kumpulan pendapatan isi rumah bawah 40 (B40).

Mengenai perbelanjaan pembangunan, dalam keadaan biasa, RHB berkata peruntukan itu dipercayai tertumpu kepada sektor ekonomi dan sosial, dengan pengangkutan dan perdagangan serta industri menerima bahagian lebih tinggi di bawah sektor ekonomi berbanding 2019.

Sementara itu, RHB berkata, sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan mungkin akan menerima peningkatan pendanaan di bawah sektor sosial sambil menambah ini mungkin akan mengakibatkan peruntukan lebih rendah bagi sektor pertahanan dan keselamatan serta untuk tujuan pentadbiran am.

“Kami fikir Belanjawan 2020 mungkin akan merangkumi pelan kontingensi untuk mengatasi kesan kelembapan daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, dinamakan sebagai pakej rangsangan fiskal mini dijangkakan berjumlah RM3 bilion atau 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta ia mungkin dalam bentuk perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi.

“Kami fikir kadar cukai pendapatan korporat tidak mungkin diturunkan di bawah langkah-langkah luar jangka untuk menangani kesan perang perdagangan ke atas perdagangan global. Kadar cukai pendapatan korporat Malaysia kini berada pada 24 peratus bagi syarikat-syarikat dan kadar ini kekal sejak 2014,” kata firma penyelidikan itu.

RHB berkata dengan ekonomi Malaysia berkemungkinan menghadapi kelembapan tahun depan berikutan peningkatan perlindungan dan pertelingkahan perdagangan, ia akan menjadi satu cabaran besar bagi kerajaan untuk terus menyatukan kewangannya.

“Pertumbuhan ekonomi lebih perlahan boleh menjejaskan kutipan cukai korporat dan pendapatan, meletakkan sasaran fiskal tiga peratus daripada KDNK, berada di bawah tekanan untuk tersasar.

“Pada pendapat kami, kerajaan mungkin akan melihat untuk melaksanakan dasar fiskal lebih meluas dan menangguh daripada memperkenalkan cukai baharu untuk belanjawan akan datang,” kata firma penyelidikan itu.

RHB menjelaskan bahawa kerajaan telah menyatakan ia tidak mungkin memperkenalkan cukai baharu bagi Belanjawan 2020 selepas melaksanakan beberapa cukai baharu seperti cukai perjudian, gula, digital dan cukai keuntungan harta tanah dalam belanjawan sebelumnya.

Bagaimanapun, ia berkata memandangkan belanjawan fiskal tahun lepas menerima dividen khas sekali sebanyak RM30 bilion daripada Petronas untuk pembayaran balik cukai berjumlah RM37 bilion, kemungkinan besar bagi belanjawan akan datang, hasil akan lebih rendah dengan ketiadaan dividen khas.

Hasil kerajaan dijangka merosot 6.2 peratus kepada RM245.5 bilion pada 2020 berbanding RM261.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, hasil masih lagi tinggi sebanyak 5.9 peratus pada 2020 jika dividen khas oleh Petronas dikecualikan, kata firma penyelidikan itu. – MalaysiaGazette