Tan Sri Abu Kassim Mohamed

KUALA LUMPUR- Rang undang-undang dana politik dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Intergriti dan Pencegahan Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kasim Mohamed berkata, ia merupakan antara undang-undang dan peraturan baharu yang akan dilaksanakan bagi melengkapi inisiatif-inisiatif lain bagi menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rasuah.

Menurutnya, bermula Januari apabila undang-undang tersebut dikuatkuasakan, semua parti perlu mendedahkan semua sumber pembiayaan termasuk derma.

Dalam pada itu, rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang telah dibentangkan di Parlimen dilihat akan diluluskan pada Oktober ini, katanya.

“Kami juga sedang menyediakan rangka garis panduan untuk surat-surat rekomendasi daripada pejabat ahli Parlimen,” katanya semasa menyampaikan ucapan di forum Pencegahan Rasuah dan Integriti 2019 di sini hari ini.

Tambahnya, banyak rang undang-undang dan arahan lain yang sedang dikaji dan disemak semula bagi meningkatkan urus tadbir baik dan integrity di samping melengkapi inisiatif-insiatif sedia ada.- MalaysiaGazette