PUTRAJAYA – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara pukul 1 petang hingga 6 petang semalam adalah tidak tepat ekoran terdapat gangguan teknikal di pusat data, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).
JAS dalam kenyataan hari ini berkata gangguan teknikal di pusat data itu dikesan berlaku pada 1 petang semalam.
“JAS telah mengenal pasti punca yang telah menyebabkan gangguan teknikal yang berlaku dan akan memastikan ia tidak akan berulang,” kata jabatan itu.
IPU Putrajaya pada 11 pagi ini mencatatkan bacaan 198 iaitu tahap tidak sihat.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat); manakala 300 ke atas berbahaya.
— BERNAMA