Para petugas pencari dan penyelamat mengumpul barang-barang yang ditemui daripada pesawat Lion Air yang terhempas 29 Oktober lalu. foto Agensi

CHICAGO – Boeing Co dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) diminta menyerahkan dokumen berhubung keputusan mereka untuk terus membenarkan pesawat Boeing 737 MAX beroperasi selepas nahas Lion Air pada Oktober tahun lalu.

Dokumen itu diminta oleh seorang peguam, Robert Clifford yang mewakili mangsa-mangsa pesawat 302 Ethiopian Airlines.

Seminggu selepas Lion Air Flight 610 menjunam ke Laut Jawa hingga membunuh semua 189 kapal, FAA memberi amaran kepada syarikat penerbangan bahawa salah satu daripada  sensor sistem kawalan penerbangan automatik mungkin telah menyebabkan kapal terbang itu secara automatik terhempas.

Tetapi FAA masih membenarkan pesawat berkenaan terus terbang.

Lima bulan kemudian, sistem yang sama dipersalahkan kerana menyebabkan ET302 terhempas pada 10 Mac, membunuh semua 157 penumpang dan anak kapal.

Susulan kejadian itu, pesawat 737 MAX digantung di seluruh dunia.

“Keputusan untuk terus membenarkan penggunaan pesawat itu adalah kunci kepada insiden,” kata Clifford dari Firma Undang-undang Clifford, yang mewakili keluarga di Ethiopia pada pendengaran status di hadapan Hakim Jorge Alonso di Chicago.

Hampir 100 saman telah difailkan ke atas Boeing oleh sekurang-kurangnya 12 firma undang-undang yang mewakili keluarga mangsa Ethiopian Airlines, yang datang dari 33 buah negara termasuk Amerika Syarikat dan Kanada.

Keluarga kira-kira 60 mangsa belum mengemukakan lagi tuntutan undang-undang tetapi peguam-peguam plaintif mereka menjangkakan lebih banyak saman pada masa akan datang.

Kebanyakan saman undang-undang tidak membuat tuntutan tertentu, walaupun Ribbeck Law Chartered telah mengatakan kliennya mahu meraih lebih daripada AS$ 1 bilion.

Tindakan undang-undang itu menegaskan bahawa Boeing yang terlibat dalam rekaan sistem kawalan penerbangan automatik dan sistem itu dipercayai berulang kali memaksa kedudukan muncung pesaway lebih rendah dalam kedua-dua kemalangan.

Boeing enggan mengulas lanjut berhubung tindakan itu secara langsung.

Namun, syarikat itu berkata, ia akan memberi kerjasama penuh dengan siasatan berkenaan. Boeing juga telah memohon maaf terhadap insiden tersebut dan menaik taraf perisian model pesawat berkenaan.

FAA pula berkata, ia tidak mengulas mengenai litigasi.

Agensi itu mempertahankan keputusannya untuk tidak menggantung 737 MAX lebih awal dan mengatakan pihaknya sedang mematuhi proses menyeluruh untuk mengembalikan pesawat berkenaan dalam perkhidmatan penumpang. – MalaysiaGazette