KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masuk hari ke-9 dengan Ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka menyambung soal balas Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Semalam, Amhari yang merupakan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak terdiam dan seolah-olah terkejut apabila Shafee berjaya melampirkan beberapa ‘bukti’ yang membuktikan penyataan saksi olehnya dua minggu lepas tidak betul dalam cubaan mengaitkan Najib dengan penubuhan 1MDB yang dahulunya dikenali Terengganu Investment Authority (TIA) sebelum ini.

Walaupun pada awalnya, Amhari bertegas mengatakan TIA merupakan baby bekas Perdana Menteri itu namun kemudian menyatrakan TIA adalah llham serta projek Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang ketika itu adalah Yang di-Pertuan Agong.

Setelah mengemukakan dokumen seperti minit mesyuarat jemaah menteri yang dipengerusikan oleh bekas Perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi akhirnya Amhari ‘beralah’ dan menyatakan dirinya tidak tahu menahu.

Malah kenyataan awalnya itu hanya berdasarkan pandangan melalui pemerhatiannya sahaja.

Ketika sesi pemeriksaan balas itu juga, Amhari turut mendedahkan ahli perniagaan yang sedang dalam pelarian, Low Taek Jho atau Jho Low telah menamakan beberapa nama besar untuk dijadikan sebagai anggota lembaga pemegang amanah kepada sebuah yayasan yang akan dibangunkan oleh TIA ketika itu.

Amhari yang juga bekas pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, Yayasan yang disasarkan untuk berada di bawah TIA menyenaraikan beberapa nama untuk menganggotai lembaga amanah itu seperti penyanyi kumpulan rock Ireland, Bono; Ratu Rania dari Jordan dan bekas Ketua pegawai Eksekutif Walt Disney (CEO), Michael Eisner.

Antara nama-nama yang disenaraikan dalam dokumen itu yang dibacakan di mahkamah oleh Muhammad Shafee adalah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; CEO Mubadala Development, Khaldoon Al Mubarak; bekas pengerusi ExxonMobil, Lee Raymond; pengerusi dan CEO LVMH Moët Hennessy Louis Vuitton SE, Bernard Arnault.

Najib ketika ini sedang berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung sebentar lagi sekitar jam 9.30 pagi ini dengan Shafee Abdullah berjanji untuk menghabiskan sesi soal balasnya dengan Amhari hari ini. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast