KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebenarnya mempunyai sifat manipulasi yang tidak digemari oleh Sultan Mizan Zainal Abidin, lagi-lagi campur tangan dalam penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).
TIA kemudian ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009.
Menurut saksi ke-8 yang juga bekas pegawai khas kepada Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, baginda menganggap perwatakan yang ditonjolkan oleh Jho Low itu sangat tidak boleh dipercayai, apatah lagi terlibat dengan TIA.
Amhari berkata demikian sebagai tanda bersetuju dengan cadangan dikemukakan oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa kerajaan Negeri Terengganu tidak berpuas hati dengan peranan Jho Low dalam penubuhan TIA itu.
Jho Low telah menimbulkan rasa sangsi sehingga wakil kepada Sultan Mizan pernah melahirkan rasa tidak senang apatah lagi menggelar dirinya sebagai penasihat kepada baginda.
Shafee: Adakah kamu bersetuju dengan cadangan saya Jho Low dianggap sebagai watak yang tidak menyenangkan oleh Yang Di-pertuan ( Sultan Terengganu) pada masa itu?
Amhari: Saya tidak pasti dan tahu tentang itu.
Shafee: Kerana sikap serta perwatakan Jho Low, kerajaan negeri Terengganu tidak berapa gembira dengan TIA?
Amhari: Ikut minit mesyuarat TIA, nampaknya seperti itulah.
Shafee: Adakah ini kerana watak manipulasi oleh Jho Low itu menyebabkan kerajaan tidak gembira?
Amhari: Begitulah dalam minit mesyuarat.
Shafee: Anda tahu tentang itu mengapa tidak memaklumkan kepada Najib?
Amhari: Tidak setuju.
Bagaimanapun, dakwa Shafee kemungkinan Amhari bertindak ‘melindungi’ Jho Low dari pengetahuan Najib kerana mempunyai manfaat daripada ahli perniagaan itu kepadanya yang kemudian dinafikan Amhari.
Terdahulu ketika disoal tentang mengapakah beberapa dokumen yang mempunyai kaitan dengan Jho Low dan 1MDB disorokkan olehnya, Amhari kelihatan seperti berdolak dalih.
Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan Shafee bahawa itu merupakan satu tindakan untuk mengenakan Najib, selain menggunakan bukti-bukti itu untuk menyelamatkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang kelak.
Perbicaraan masih berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika ini. –MalaysiaGazette