KUALA LUMPUR – Pemain tengah PKNS FC, Romel Morales tanpa berselindung memiliki hasrat untuk meneruskan kariernya dalam Liga Malaysia selepas beraksi dengan baik bersama The Red Ants pada musim ini.

Pemain yang berusia 22 tahun ini mengakui teruja jika dia dapat meneruskan kariernya bersama mana-mana pasukan yang berminat untuk menggunakan khidmatnya musim depan.

Morales yang pernah mewakili kelab Argentina, Banfield, mengikat kontrak bersama PKNS tahun lalu dan prestasinya kian menonjol pada musim ini selepas telah menyumbang tujuh gol dalam kempen Liga Super dan dua gol dalam Piala Malaysia.

“Saya sudah bermain dua tahun di sini dan, saya juga suka negara ini kerana semua orang melayan saya dengan baik sama seperti di negara sendiri.

“Malah keluarga saya juga suka datang Malaysia, mereka rasa selesa dan selalu melawat saya di sini.

“Buat masa ini, saya hanya menunggu tawaran jika kontrak saya habis bersama dengan PKNS tahun depan.

“Jadi, saya perlu memikirkan tawaran yang terbaik untuk diri sendiri dan juga keluarga sebelum saya tanda tangan dengan mana-mana kelab,” katanya.

Morales sebelum ini antara pemain import yang disebut-sebut berpotensi mendapat taraf naturalisasi jika mampu beraksi di sini bagi tempoh beberapa musim lagi.

Pada awal tahun ini, Morales pernah menyampai hasrat untuk menyarung jersi Harimau Malaya jika diberikan kepercayaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast