SUNGAI BULOH – Keadaan sukar dialami penduduk yang menjadi mangsa rumah mereka dirobohkan di Paya Jaras Hilir di sini tidak mungkin akan berlaku sekiranya Selangor masih lagi ditadbir Barisan Nasional (BN).
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, BN tidak akan bertindak zalim terhadap rakyat lebih-lebih lagi jika perkara itu melibatkan soal kemanusiaan.
Beliau berkata, langkah kerajaan negeri yang merobohkan rumah penduduk tanpa menyediakan penempatan sementara disifatkan beliau sebagai satu tindakan zalim dan tidak berhati perut.
“Saya perhatikan kerajaan negeri tiada ihsan dan tidak ada hati perut sama sekali. Kalau di zaman BN nak meroboh pasti kita akan sediakan penempatan sementara atau penempatan kekal.
“Kalau nak roboh kena ada beberapa pertimbangan yang nak kena buat,” katanya pada sidang media selepas menziarahi penduduk terlibat yang kini ditempatkan di khemah sementara di sini hari ini.
Najib juga sedih apabila melihat penduduk yang terpaksa menghuni di bawah khemah dengan keadaan serba kekurangan.
Katanya, hatinya sebak apabila dimaklumkan ada dalam kalangan mereka yang ditempatkan mengidap penyakit kanser tahap tiga dan ada juga yang mempunyai bayi yang baru berusia tiga bulan.
Dalam pada itu, Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN
mendesak supaya kerajaan Selangor menyediakan penempatan sementara yang selesa kepada penduduk sebagai satu tanggungjawab bersama terhadap rakyat.
Tambah beliau, permintaan itu bukan dikaitkan dengan politik sebaliknya ia merupakan dasar dan prinsisp kemanusiaan.
“Ini bukan soal politik tapi hak mereka sebagai warga negara,” ujarnya.
Sementara itu, bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar pula berkata, kerajaan negeri boleh merobohkan rumah penduduk berdasarkan kuasa yang mereka ada tetapi perlu mengambil kira perkara-perkara melibatkan hak asasi manusia.
Katanya, ketika menjawat jawatan sebagai menteri, beliau pernah membantu penduduk di kawasan tersebut apabila Tenaga Nasional Berhad hendak meroboh rumah kerana hendak memberi laluan untuk kerja-kerja membina kabel elektrik.
“Saya bantu mereka, saya berikan rumah PPR di Lembah Subang dua. Sekarang ni kerajaan Selangor kerajaan PH dan Persekutuan pun PH, patut mereka boleh runding.
“Saya dapat tahu rumah PPR di Lembah Subang tu ada kosong lagi. Kenapa mereka itu tidak dipindahkan ke sana? IIni semua jenis buat kerja tak ada mesyuarat dan ikut suka hati. Jadi inilah akibatnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette