BUTTERWORTH – UDA Holdings Berhad (UDA) dengan usahasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) meneruskan pembangunan hartanah di tanah wakaf Seetee Aisah di Bandar Seberang Jaya di sini menerusi projek Wakaf Seetee Aisah 2.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Salem Kailany berkata pembangunan Wakaf Seetee Aisah 2 adalah rentetan kejayaan pembangunan Wakaf Seetee Aisah 1 seluas 3.75 hektar yang telah dibangunkan di atas lot tanah sama pada 2012.

“Untuk projek pembangunan Wakaf Seetee Aisah kita ada dua, satu telah pun siap pada 2012. Projek yang berkeluasan 2.96 hektar ini adalah pembangunan bercampur merangkumi kediaman iaitu Taman Wakaf Seetee Aisah 2 dan komersial ‘Pusat Perniagaan Wakaf Seetee Aisah 2’.

“Pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM210 juta ini akan dibina pada suku ketiga tahun hadapan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2023,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian projek pembangunan itu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di sini, hari ini.

Beliau berkata projek pembangunan di tanah wakaf itu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pertama melibatkan pembinaan 150 unit kediaman asnaf, fasa kedua (pembinaan 422 unit kondominium) manakala fasa ketiga meliputi pembinaan 35 unit lot kedai empat tingkat, satu blok bangunan pejabat tujuh tingkat, surau dan dewan serbaguna.

“Harga bagi unit kondominium yang ditawarkan bermula RM350,000 ke atas dan 30 peratus lebih rendah berbanding harga hartanah semasa. Oleh kerana lot tanah Wakaf Seetee Aisah berstatus tanah wakaf maka ia berkonsepkan sewa pajak dengan MAINPP selama 99 tahun dan hanya dibuka kepada orang Islam sahaja,” katanya.

Mohd Salem berkata menerusi projek itu, UDA dapat menambah nilai pada tanah wakaf itu sekali gus memberi peluang kepada MAINPP menjana hasil positif bagi memanfaatkan sepenuhnya perkembangan wakaf dan ekonomi umat Islam.

Menurutnya, MAINPP bakal menerima hartanah dengan anggaran nilai RM24 juta menerusi projek itu yang merangkumi 12 unit kondominium, sembilan unit lot kedai, 150 unit kediaman asnaf, satu unit pejabat tujuh tingkat, surau dan dewan serbaguna.

Pada majlis itu, UDA turut menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Simpanan Nasional Berhad bagi pembiayaan akhir projek tanah wakaf UDA.

Inisiatif itu adalah langkah proaktif dalam menyediakan pembiayaan akhir bagi kemudahan pembelian hartanah wakaf.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast