Muhyiddin Mohd Yassin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan enam langkah penambahbaikan dalam memperkemaskan sistem penyampaian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menterinya, Tan Si Muhyiddin Mohd Yassin berkata, langkah itu yang akan dikuatkuasakan serta merta untuk memperketatkan Prosedur Pengendalian Standard (SOP) sedia ada di JPN.

Kata beliau, enam langkah itu ialah memberhentikan serta merta pendaftaran lewat kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negeri dan menetapkan hanya boleh dilakukan di ibu pejabat JPN untuk semak dan imbang.

Langkah kedua katanya, meningkatkan kekerapan proses naziran secara mengejut di semua bahagian JPN termasuk terhadap vendor yang terlibat bagi memastikan semua tatacara yang telah ditetapkan dipatuhi.

Seterusnya, menambah baik aras keselamatan berperingkat agar tidak lagi boleh diakses dengan mudah oleh semua pegawai, sebaliknya perlu melalui verifikasi dari pegawai atasan.

“Keempat, kita menukar pegawai JPN secara pusingan untuk menggelakkan satu-satu pegawai berada di posisi sama lebih dari dua tahun untuk meminimumkan salah guna kuasa.

“Kita juga menyemak semua sijil kelahiran yang belum dituntut untuk dinyahaktifkan dari pangkalan sistem bagi mengelakkan salah guna.

“Akhir sekali, untuk jangkamasa panjang, pihak JPN mengusulkan diwujudkan bank data deoxyribonucleic acid (DNA) dan dimasukkan dalam sijil kelahiran agar dapat mengekang ketirisan,” katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Muhyiddin, kerajaan memandang serius kes penjualan MyKad kepada warga asing sebagaimana berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.

Justeru, kata beliau, satu Mesyuarat Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Penyampaian JPN dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim telah diadakan pada 18 September lalu.

Mesyuarat itu, kata Muhyiddin, telah memutuskan beberapa langkah penambahbaikan serta merta dan strategi memperkemas sistem penyampaian JPN termasuk memperketatkan SOP sedia ada.

“Saya tegaskan, KDN tidak akan melindungi mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dalam kes penjualan MyKad ini dan memberi kuasa penuh kepada polis untuk menyiasat serta mendakwa pengkhianat negara.

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak sahih dan palsu yang ditularkan, dan memberi amaran tindakan perundangan akan diambil sebagai pengajaran kepada pihak lain supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan melibatkan berita tidak benar,” tegasnya. – MalaysiaGazette