JOHOR BAHRU – Kegiatan sekumpulan lelaki memecah masuk rumah sarang burung di sekitar Daerah Kota Tinggi untuk dijual dalam pasaran gelap akhirnya terbongkar setelah mereka ditahan dalam serbuan di dua kawasan berasingan, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Ahsmon Bajah berkata, dalam serbuan yang dilakukan sekitar 8 sehingga 10.40 malam itu, kelima-lima suspek warga tempatan berkenaan ditahan di dua buah rumah di Bandar Penawar dan Felda Gugusan Adela.
Katanya, kesemua mereka yang ditahan adalah lelaki berumur antara 31 sehingga 39 tahun.
“Modus operandi kumpulan ini adalah dengan memecah masuk dan mencuri sarang burung di rumah sarang burung yang tidak di pasang peralatan keselamatan tambahan. Kemudian sarang-sarang burung berkenaan dijual di pasaran gelap sekitar negeri ini,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Ahsmon berkata, pihaknya turut merampas satu laras senapang patah buatan sendiri yang disembunyikan di bawah katil, pelbagai peralatan pecah rumah dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan, dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM20,000.
Menurutnya, hasil siasatan turut mendapati dua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
“Dengan tertangkapnya kelima-lima suspek ini, kita berjaya menyelesaikan lima kes kecurian dan pecah masuk (rumah) sarang burung dengan keseluruhan kerugian dianggarkan kira-kira RM25,000,” katanya.
Ahsmon berkata, kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 457/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. – Bernama