KUALA LUMPUR – Warganet hari ini tertanya-tanya di mana kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman yang didakwa hilang tanpa dikesan.

Oleh yang demikian, satu poster orang hilang dimuatnaik ke media sosial hari ini bagi menjejaki ke mana hilangnya wakil rakyat mereka apabila penduduk kawasan itu ditimpa masalah dengan perobohan rumah.

“Pulanglah, orang kampung sedang merindui kepulangan. Kali terakhir ditemui sebelum runtuhkan rumah penduduk di Paya Jaras,” tulis poster berkenaan.

Poster itu dimuatnaik individu bernama ‘Wak Jimie’ di Facebook.

Bagaimanapun, tidak dapat dikenalpasti samada beliau merupakan penduduk Paya Jaras ataupun tidak.

Sebelum ini, penduduk berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras kecewa kerana wakil rakyat kawasan mereka tidak turun padang melihat keadaan perobohan rumah di kawasan itu.

Kata mereka, kali terakhir Mohd Khairuddin hadir berjumpa penduduk adalah pada awal bulan lalu.

Dalam operasi perobohan dilakukan Pejabat Daerah Tanah (PDT) Petaling pada Rabu lalu, 55 rumah dibina atas tanah rizab sungai dirobohkan bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedondong bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Bagaimanapun, pihak berkuasa terbabit memberi tempoh kepada pemilik 37 rumah lain sebelum dirobohkan bagi membolehkan anak mereka menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin sebelum ini berkata, operasi merobohkan rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.

Beliau berkata, pelaksanaan perobohan itu sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2008 lagi dan penduduk terlibat telah menerima notis pertama sejak tahun 2015.

Mohd Khairuddin sebelum ini pernah membantah perobohan berkenaan memandangkan penduduk terlibat tidak mendapat tawaran Rumah Selangorku sebagai pampasan kepada perobohan terbabit. -MalaysiaGazette