Zulhelmi Mansor

SHAH ALAM – Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) menggesa kerajaan Selangor menunjukkan rasa simpati terhadap penduduk yang rumah mereka dirobohkan di Kampung Sungai Kedondong, Paya Jaras dua hari lepas.

Ketua Setiausahanya, Zulhelmi Mansor berkata, kebanyakan penduduk yang menjadi mangsa kezaliman itu kini menumpang teduh dan tidur di bawah khemah yang dibina ehsan pihak luar.

Ujar beliau, hasil makluman yang diperolehinya, ada perbincangan antara pihak kerajaan negeri dengan wakil penduduk sebelum kediaman mereka dirobohkan tanpa ada notis pemberitahuan.

Untuk makluman Menteri Besar, Amirudin Shaari berkata, hasil perbincangan baru-baru ini, kerajaan negeri bersetuju untuk menangguhkan proses perobohan sehingga November depan.

“Tetapi, kerja merobohkan rumah penduduk itu dibuat lebih awal dari jangkaan dan semua mereka pula dibiarkan berteduh di bawah khemah bersama keluarga masing-masing.

“Ini juga lebih serius bila mana semua mangsa terdedah dengan cuaca jerebu teruk yang sedang melanda Selangor. Kesihatan mangsa juga akan terkesan bagai sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Zulhelmi, kes itu juga harus diberikan perhatian oleh Menteri Besar selepas mengambil kira rayuan penduduk yang mempunyai anak yang akan menghadapi peperiksaan besar tahun ini seperti PSRA, PT3, SPM dan STPM.

“Jadi, perkara ini telah mendatangkan kesan buruk yang sangat banyak dari kerajaan Selangor kepada rakyat Selangor itu sendiri. Bukan sahaja hilang tempat berteduh, malah soal kesihatan dan juga pendidikan mereka juga harus diberikan rasa simpati oleh Amiruddin.

“Selain itu, Gerakan Tuntut tidak merasakan isu ini sebuah tentangan penduduk kerana mereka bukan tidak bersetuju berpindah, tetapi memohon sedikit masa lagi untuk mereka bersedia berpindah,” katanya.

Menurutnya, penduduk di situ juga dijanjikan penawaran Rumah Selangorku sebagai ganti, tetapi kediaman itu dijangka siap dua tahun dari sekarang.

Ujarnya, Amiruddin seharusnya meletakkan rasa prihatin kepada rakyat Selangor terutama berkenaan isu perobohan rumah di Paya Jaras dengan menyediakan penempatan sementara atau pampasan. – MalaysiaGazette