MOT
Kementerian Pengangkutan menangguhkan sementara permit VEP

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan menangguhkan sementara penguatkuasaan permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP) di semua laluan keluar Aliran Trafik Keluar ke Singapura (KSAB) dan Stesen Kawalan Sempadan Johor (BSI).

Ini berikutan pihak kementerian menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati ada beberapa masalah berkaitan kesukaran untuk mendapatkan temu janji bagi pemasangan tag pengimbas barcode jarak jauh (RFID) terutama ketika waktu aliran trafik puncak.

Menurut kenyataan dikeluarkan kementerian itu, pihaknya akan mengeluarkan notis baharu mengenainya sebaik masalah itu dapat diatasi.

Kementerian berharap dengan pembukaan Pusat Fitmen (FC) tambahan dan penangguhan itu, semua pemilik kenderaan asing akan mengambil kesempatan itu untuk segera mendaftar dan mendapatkan tag FRID dipasang bagi mengelakkan sebarang kesulitan untuk masuk dan keluar dari Malaysia pada masa akan datang.

Mengikut Seksyen 66H Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), mana-mana orang yang memandu kenderaan asing ke Malaysia hendaklah memohon permit VEP.

“Bagi mereka yang memandu kenderaan motor asing tanpa VEP adalah melakukan kesalahan.

“Dalam hal ini, VEP adalah satu komponen penting dalam usaha kerajaan untuk menangani masalah dengan pemilik kenderaan asing yang melanggar undang-undang pengangkutan jalan raya.

“Selain isu-isu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab membawa masuk dan keluar kenderaan yang dicuri atau tidak sah pendaftaran merentasi sempadan negara,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, VEP membolehkan JPJ memiliki keupayaan untuk menyimpan rekod dan memantau kenderaan bermotor asing yang bergerak masuk dan keluar negara seterusnya mencapai objektif utama peruntukkan undang-undang ini.

Pendaftaran untuk VEP telah dibuka sejak April lalu dan pengumuman mengenai kewajipan untuk pendaftarannya telah banyak dilaksanakan sepanjang tempoh masa tersebut sehingga sekarang.

“Ini bermakna tempoh enam bulan diberikan kepada pemilik kenderaan asing untuk menyelesaikan proses pendaftaran sehingga Oktober ini,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, pemilik kenderaan asing masih boleh mendaftar untuk VEP melalui portal, https://vep.jpj.gov.my dan mendapatkan tag VEP-RFID dipasang di empat FC yang ditetapkan di Johor Bahru.

Empat FC itu ialah kawasan Rehat dan Rawat (RnR) arah selatan Gelang Patah;  tempat meletak kenderaan terbuka Plaza Angsana; RnR Pandan; dan Tol Plaza Kedai Lima.

Kementerian juga telah mengambil langkah mengemas kini sistem dan memastikan kelancaran proses pendaftaran semua pemilik kenderaan asing.

Sebagai tambahan kepada FC sedia ada, kementerian itu akan membuka satu lagi FC di pejabat JPJ di KSAB.

Pemilik juga boleh mendapatkan tag RFID VEP mereka dipasang di FC ini setelah semua persiapan pembukaan selesai dan tarikh operasi FC tambahan ini akan diumumkan tidak lama lagi.

Pada masa ini, JPJ akan menumpukan kepada aktiviti advokasi dan kesedaran di semua aliran trafik di KSAB dan BSI untuk mendidik semua pemilik kenderaan asing mengenai keperluan untuk pendaftaran VEP.

Untuk maklumat lanjut dan terperinci mengenai VEP, sila hubungi +607-5950669, atau e-mel [email protected]. – MalaysiaGazette