Aksi menarik Tok Gajah yang berjaya mencerahkan peluang ke separuh akhir selepas membelasah Melaka United 3-0 di Stadium Hang Jebat dalam suku akhir pertama Piala Malaysia semalam.- kredit foto: MFL

KUALA LUMPUR – Skuad Tok Gajah melanyak Melaka United 3-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2019 di di Stadium Hang Jebat Krubong, Melaka malam tadi.

Pasukan bimbingan Dollah Salleh gagal mendapat skor di separuh masa pertama disebabkan terlalu banyak mengikuti rentak permainan pasukan tuan rumah.

Kebuntuan menghasilkan gol di 45 minit pertama oleh kedua-dua pasukan menyaksikan perlawanan lebih seimbang.

Dollah bagaimanapun mengakui anak buahnya tidak dapat menghasilkan gol yang sangat diperlukan di separuh masa pertama keran terlalu terikut rentak skuad tuan rumah.

“Kita banyak ikut tempo permainan Melaka,saya tekankan separuh masa pertama kalau kita ikut rentak permainan Melaka sampai bila bila tak boleh skor gol.

“Jadi separuh masa kedua kita nampak perubahan telah berlaku. kita nampak skuad meningkatkan rentak dan penghantaran bola dan kita dapat menjaringkan gol,” katanya selepas perlawanan.

Gol pertama skuad Tok Gajah hadir pada minit ke-56 menerusi penyerang import Lazarus Kaimbi yang berjaya menanduk masuk bola ke dalam gawang lawan hasil hantaran lintang kapten Matthew Davies selepas skuad pelawat berjaya menghidu kelemahan bek pertahanan pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan.

Tuan rumah yang ternyata terkejut dengan gol pada minit awal babak kedua cuba mendapatkan rentak permainan semula dan menyusun serangan balas.

Bagaimanapun belum sempat memikirkan strategi serangan balas, gawang gol Melaka United sekali lagi dirobek dua minit selepas gol pertama dengan jaringan kedua pelawat menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit Ke-58.

Di sini boleh katakan kebijaksanaan Dickson Nwakaeme berjaya memperdaya kubu pertahanan Melaka United mengulangi kesilapan sehingga dihukum dengan gol kedua.

Jaringan ketiga dan juga gol kemenangan Tok Gajah hadir pada minit ke-61 menerusi Nwakaeme dengan tandukan kencang bola hantaran Penyerang Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh sekaligus melenyapkan skuad tuan rumah.

Kini dengan kelebihan 3 gol di tempat lawan Pahang berjaya mencerahkan peluang untuk melangkah ke Separuh akhir Piala Malaysia dan akan menerima kunjungan Skuad negeri Hang Jebat ke Stadium Darul Makmur untuk aksi timbal balik suku akhir kedua.

Dalam pada itu Zainal Abdin pula juga menyatakan kekecewaan sambil mengakui kecuaian anak buah berdepan Pahang menghukum mereka membolos tiga gol yang tidak sepatutnya terjadi.

“Separuh masa pertama mereka beraksi dengan baik namun membolos tiga gol dalam lima minit di separuh masa kedua tidak dijangka,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast