Lebih, 1,000 unit JKS terjual sejak berada di pasaran pada Julai lalu.

KUALA LUMPUR – Totalife (M) Sdn. Bhd., pengeluar produk kesihatan berjenama Totalife menetapkan sasaran dapat menjual 5,000 unit rangkaian produk kecantikan kulit keluarannya pada akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Danny Chew berkata, pihaknya yakin mencapai sasaran kerana keunikan rangkaian 10 produk di bawah jenama Junior Keep Secret ataupun lebih dikenali sebagai JKS yang mengandungi bahan Gamma Amino Butyric Acid (GABA).

Jelas beliau, GABA yang merupakan asid aminobutyric terdapat dalam beras, gandum, sayuran dan tanaman yang berfungsi untuk mengurangkan garis-garis halus, memulihkan keanjalan kulit serta dapat mengembalikan kulit seperti kulit bayi.

“Disebabkan faktor itu, JKS yang berada di pasaran sejak April lalu telah berjaya dijual lebih 1,000 unit sambil dibantu dengan promosi agresif yang dijalankan di media sosial.

“Kini, JKS menjadi produk kecantikan pilihan ramai kerana berperanan untuk membantu mengekalkan kelembapan dalam kulit wajah selain menegangkan kulit wajah pengguna.

“Ramai pengguna telah mengakui keberkesanannya apabila kulit wajah menjadi tegang tanpa perlu melakukan suntikan botox lagi,” katanya.

JKS berfungsi untuk mengekalkan kelembapan dalam kulit wajah selain menegangkan kulit wajah pengguna

Harga produk JKS bermula serendah RM87 sehingga RM111 untuk harga ahli Totalife dengan produk pilihan utama adalah GABA Rejuvenating Cleansing Mousse dan GABA Rejuvenating Skin Firming & Hydrating Serum.

Danny menambah, syarikat berani mengambil risiko dengan memperkenalkan produk kecantikan bagi memberi pilihan kepada masyarakat.

Jelasnya, Totalife sedia berdepan saingan sengit dengan rangkaian produk kecantikan di Malaysia sama ada keluaran tempatan atau diimport dari luar negara.

“Kekuatan sesuatu produk itu bergantung kepada keberkesanan apabila tidak merosakkan kulit wajah pengguna dan berbaloi memakainya.

“Pengguna seharusnya bijak dalam memilih mana produk yang terbaik untuk diri mereka terutama berkaitan kulit wajah kerana ia adalah aset penting dalam menjaga penampilan.

Dalam pada itu, Danny memberitahu, syarikat telah menembusi pasaran Indonesia pada separuh pertama tahun ini dan mendapat sambutan luar biasa apabila jumlah ahli mencecah 500 orang sehingga kini.

Jelasnya, tahun 2019 merupakan waktu yang sesuai untuk syarikat meluaskan rangkaian pasarannya ke negara jiran tersebut selepas berjaya mengembangkan perniagaan di Amerika Syarikat, Singapura dan China.

“Objektif utama syarikat adalah untuk memberi manfaat kepada masyarakat untuk menikmati kehidupan yang sihat dan sempurna daripada segi kesihatan dalaman dan juga luaran.

“Pelanggan juga kekal setia dengan Totalife sehingga ada yang menggunakan produk kami selama lebih daripada 20 tahun dan tahap kesihatan mereka menjadi lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Totalife bakal menyambut ulang tahun syarikat ke-24 tahun di negara ini pada Disember depan.

Sehingga kini syarikat memiliki lebih daripada 10,000 pengedar di seluruh negara. – MalaysiaGazette

Harga produk JKS bermula serendah RM87 sehingga RM111 untuk harga ahli Totalife.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast