Gajah kuru yang menderita tanpa penjagaan sempurna dan dijadikan hamba perarakan di jalanan akhirnya meninggal dunia sebagai membebaskan diri daripada dunia kekejaman semalam.

COLOMBO – Seekor gajah berusia 70 tahun yang dipaksa untuk perarakan di atas jalan kini telah menemui ajalnya.

Berita itu disahkan oleh penjaga gajah itu secara eksklusif kepada Metro.

Kisah menyedihkan gajah bernama Tikiri telah diperjuangkan oleh aktivis hidupan liar di seluruh dunia selepas gajah yang kurus kering itu ditutup badannya dengan kostum dan perhiasan selama ini.

Beberapa keping gambar menunjukkan gajah itu terlantar di tanah akibat sakit tenat selepas sambutan tahunan Esala Perahera pesta Buddha di Kandy Sri Lanka tular dalam media sosial.

Tikiri antara 60 ekor gajah yang menyertai perarakan itu untuk beberapa hari.

Ekoran tekanan aktivis hidupan liar, Tikiri yang dijadikan hamba tanpa penjagaan rapi dipulangkan kepada penjaga asalnya di Rumah Kebajikan Gajah Pinnawala.

Malangnya penjaganya dengan sedih berkata,” Ya. Tikiri sudah tiada lagi. Dia mati petang tadi (semalam)”.

“Doktor veterinar haiwan akan datang esok untuk menyiasat punca kematian dan bedah siasat,” katanya.

Namun sumber dipercayai mendakwa gajah betina itu telah didera dan dijadikan hamba.

“Kami telah berjuang untuk menyelamatkannya dengan penuh harapan tetapi nasibnya berakhir begini, dan ia sangat mengejutkan.” kata sumber itu.

Awal September ini, Lek Chailert yang menubuhkan Yayasan Penyelamat Gajah di Utara Thailand berkongsi beberapa foto Tikiri selepas ia dihantar pulang kepada penjaga asalnya.

Aktivis itu telah mempersoalkan kenapa kaki gajah itu masih dirantai walaupun haiwan malang itu sudah hilang tenaga dan sakit.

Aktivis wanita itu berkata, Tikiri jatuh sakit, sudah tua dan menjadi lemah. Dia sepatutnya menerima layanan lebih baik dan lebih adil.

Keadaan sebenar Tikiri yang kurus kering serta menderita tanpa penjagaan rapi sebelum meninggal dunia pada usia 70 tahun semalam.

Tikiri mengalami penderaan sepanjang hidup selama ini dan mengalami ketakutan dan penderitaan melampau sebelum meninggal dunia, keluh aktivis itu.

Penjaga asal gajah malang itu juga ditegur sepatutnya jika dia sangat sayangkan hidupan liar sepatutnya berjuang dan peka dengan penderitaannya.

Manakala jurucakap pesta Buddha dari sebuah kuil di Kandy mendakwa Tikiri sebenarnya menghidap penyakit masalah pencernaan yang menghalang penambahan berat badan.

Penjaga asal gajah mengakui penderitaan dan penyakit Tikiri boleh pulih jika didedahkan kepada upacara perarakan sembahyang Buddha yang menurut kepercayaan lama ia akan mengubati gajah berkenaan.

“Ada kepercayaan silam bahawa jika kita mengadakan ritual menggunakan gajah yang sakit penyakit akan disembuhkan segera dan penjaga itu percaya Tikiri akan sembuh dalam jika mengambil bahagian dalam sambutan kali ini.,” dakwanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast