Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Noor Azam Jamaludin.

SERDANG – Polis mengesahkan hari ini seorang suspek lelaki yang ditembakl mati berhampiran Tesco Extra Puchong malam tadi adalah ahli sindiket penyeludupan manusia dari Kelantan.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata, suspek dikenalipasti sebagai Mohd. Zafarul Nizam Hamzah berusia 37 tahun.

Kata beliau, ketika kejadian 7.30 malam itu, suspek bertindak ganas dan cuba merempuh salah seorang pegawai polis ketika cuba menangkapnya.

“Kami terdahulu telah terima maklumat awal berlaku kejadian tembak menembak polis Bukit Aman dalam operasi dan suspek disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan di Kelantan, Selangor.

“Semalam, semasa kejadian di Jalan Bandar 10, Puchong berhampiran Tesco Extra Puchong malam semalam mendapati suspek menaiki kereta Perodua Alza dengan membawa lapan pendatang asing tanpa izin warga Myanmar yang diekori pasukan khas Bukit Aman dari Kelantan sebelum cuba buat tangkapan.

“Disebabkan mungkin panik, pemandu iaitu suspek ahli sindiket cuba merempuh kami semasa hendak membuat tangkapan sebelum polis terpaksa beberapa das tembakan sebagai mempertahankan diri.

“Ekoran itu, suspek mati di tempat kejadian,” katanya dalam sidang media khas kes itu di Ibu Pejabat Daerah Serdang, Kinrara, Puchong hari ini.

Justeru katanya, hasil siasatan lanjut polis mendapati kenderaan Alza yang digunakan suspek didaftarkan di atas seorang wanita tempatan beralamat di Gombak dan siasatan diteruskan dalam hal itu.

Menurut Azam, polis menahan sembilan warga Myanmar menerusi pemeriksaan dalam kenderaan suspek manakala salah seorang warga Myanmar berkenaan dikenalpasti sebagai perantara sindiket berkenaan.

Justeru pemeriksaan lanjut juga membantu polis menemui beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian.

Semakan polis juga mendapati simati yang ditembak mempunyai sebanyak 11 rekod jenayah lampau iaitu tiga kes dadah, satu kes ragut, lima kes curi, satu kes curi kenderaan dan satu kes pemerasan.

“Kesemua sembilan warga Myanmar itu berusia antara lewat 20-an dan lewat 30-an itu ditahan dan salah seorangnya mengalami kecederaan di bahu kanan dan perut akibat tembakan polis dan dirawat di zon merah Hospital Serdang.

“Manakala mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, polis juga menggerakkan siasatan terhadap 8 warga myanmar berkenaan sama ada dibawa untuk tujuan bekerja atau sebarang motif lain dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Manakala dalam satu lagi perkembangan kes tembak mati pada Isnin lalu di Cyberjaya, katanya, suspek keempat ahli Geng Sree yang ditembak mati telah dikenalpasti identitinya sebagai Selvam Muniandy berasal dari Cheras dan memiliki enam rekod jenayah berkaitan dadah.

Isnin lepas, empat suspek berkenaan berusia 29 hingga 45 tahun itu yang dipercayai aktif dalam 21 kegiatan samun dan pecah rumah di Selangor dan Negeri Sembilan, mati ketika berbalas tembakan dengan polis di Kondominium Residen Skypark, Cyberjaya.- MalaysiaGazette