Solidariti untuk Allahyarham Muhammad Adib di luar pekarangan Mahkamah Shah Alam, esok.

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengharapkan keputusan ke atas inkues menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim esok, akan berpihak dan memberi keadilan ke atas anggota bomba itu.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, beliau melihat seperti ada satu ‘game’ di belakang kes berkenaan yang menyebabkan suspek dibebaskan dan Peguam Negara pula dibawa ke mahkamah.

Menyifatkan perkara itu sebagai tragedi kepada negara, Aminuddin berharap keputusan mahkamah nanti akan dapat mengembalikan keadilan sebenar bagi pihak yang teraniaya dalam kes kematian Allahyarham Muhammad Adib.

“Kita akan mengadakan himpunan aman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi esok (Jumaat) untuk sama-sama mendengar keputusan inkues berkenaan.

“Himpunan ini bukan demontrasi. Kita tidak menyokong mana-mana pihak cuba membuat tindakan di luar batasan. Ini hanyalah solidariti untuk menyatakan sokongan terhadap Allahyarham Muhammad Adib.

“Kita akan mengharapkan keputusan itu nanti adalah yang terbaik untuk keluarga Allahyarham,” katanya di sini, semalam.

Sebagai penganjur, beliau berkata, UMMAH turut mengharapkan pihak yang akan hadir esok tidak membuat sebarang tindakan yang melanggar undang-undang.

Beliau yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) turut menggesa masjid di seluruh negara menganjurkan solat hajat pada hari berkenaan. – MalaysiaGazette