Parti PUTRA.foto FAREEZ FADZIL, 28 SEPTEMBER 2019

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perlara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Surah Ali ‘Imran, ayat 104).

Pertama, bahawasanya, berdasarkan hakikat dan fakta sejarah bahawa Islam adalah agama Persekutuan, Ketua Negara adalah Yang di-Pertuan Agong dan dipayungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu serta mengambil kira empat tiang seri Perlembagaan Negara (Perkara 3, 32, 152, 153), Putra akan terus berjuang, dan jika berkuasa, Perlembagaan Persekutuan akan dipinda bagi menentukan hanya seorang Melayu dan Islam sahaja boleh dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

  1. Putra juga akan memastikan pemegang jawatan utama persekutuan seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera hendaklah terdiri daripada orang Melayu beragama Islam kerana Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam dan Ketua Adat Istiadat Melayu, manakala Islam adalah agama persekutuan dan majoriti penduduk Malaysia adalah Islam.

 

  1. Putra akan mengkaji semula gaji, elaun dan pencen ahli-ahli politik yang berkhidmat dalam kerajaan termasuk Ahli-ahli Dewan Rakyat, Ahli-ahli Dewan Negara dan Ahli-ahli Dewan Negeri. Elaun dan pencen yang begitu besar yang diterima tidak sepadan dengan kehidupan rakyat jelata, di mana kadar kemiskinan sekitar 15 peratus mengikut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kedua, Putra akan memperjuangkan dan memastikan undang-undang melindungi Islam dan Raja-Raja Melayu diwujudkan dan dinamakan sebagai Akta Menghina Islam dan Raja_Raja Melayu (AMIR) bagi menangani dan mencegah sebarang ancaman yang menghina dan mengugat Islam sebagai agama persekutuan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu. Akta AMIR yang dicadangkan ini akan mengenakan hukuman mandatori tiga rotan dan penjara tidak kurang dari 10 tahun serta penahanan tanpa perintah mahkamah selama 30 hari semasa penyiasatan, dan ianya instrumen bagi menjamin keamanan pelengkap kepada Akta Hasutan 1948. Ini kerana Akta ISA sudah dimansuhkan dan mungkin Akta Hasutan 1948 juga turut dimansuhkan.

Ketiga, Putra akan memperkukuhkan Islam sebagai agama persekutuan menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan memastikan RUU355 menjadi sebahagian undang-undang di dalam Perlembagaan Persekutuan, dan ianya terpakai untuk umat Islam sahaja serta memperkasakan status Mahkamah Syariah setaraf Mahkamah Sivil.

Putra juga akan memperjuangkan peruntukan Hak Pendidikan untuk umat Islam menurut Perkara 12(2) Perlembagaan ditambah bagi menambah bilangan Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Pendidikan KAFA dan Kelas Bimbingan Keagamaan di semua masjid di setiap daerah di Malaysia termasuk peruntukan lebih besar untuk kerja kebajikan umat Islam di seluruh Malaysia selaras dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

Keempat, Putra akan memperjuangkan dan memastikan hanya ada satu Aliran Pendidikan Kebangsaan dalam Sistem Pendidikan Negara selaras dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan tidak akan mengiktiraf mana-mana sekolah atau institusi Pendidikan Swasta yang tidak mematuhi dan tidak sealiran dengan Sistem Pendidikan Negara. Pendidikan satu aliran akan memastikan Proses Integrasi Nasional dan pembentukan sebuah negara bangsa yang beridentiti dan semua rakyat Malaysia mesti berupaya bertutur dalam Bahasa Kebangsaan.

Putra juga akan memperjuangkan dan memastikan pelajar Bumiputera menerima biasiswa sepenuhnya selaras dengan Hak Keistimewaan Melayu di bawah Perkara 4 Fasa 153 Perlembagaan Negara.

Kelima, Putra akan memperjuangkan dan memperkasakan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dengan memastikan setiap urusan rasmi kerajaan termasuk mesyuarat, surat pekeliling, surat arahan, kertas kerja, ucapan-ucapan rasmi kerajaan, kenyataan-kenyataan media, dan sehubungan dengan itu akan meminda Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 bagi mendakwa mana-mana pihak yang tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan.

Putra juga akan memperjuangkan dan memastikan agar semua urusan rasmi di mahkamah menggunakan Bahasa Kebangsaan dan hanya kebenaran khas oleh Ketua Hakim Negara sahaja membolehkan selain dari Bahasa Kebangsaan digunakan untuk perbicaraan di mahkamah.

Keenam, Selaras dengan salah salah satu daripada tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, Putra akan memperjuangkan dan memastikan Tanah Rezab Melayu dikembalikan kepada status asal sebanyak 50 peratus di seluruh negara. Terkini, status Tanah Rezab Melayu hanya tinggal 12 peratus dan ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan menurut Perkara 89(3).

Bagi tujuan mengganti Tanah Rezab Melayu dan Tanah Adat, tanah-tanah kerajaan yang masih berbaki dan tanah-tanah tol akan digazetkan untuk mengganti Tanah Rezab Melayu dan Tanah Adat yang telah hilang tidak berganti.

Ketujuh, Putra akan memperjuangkan dan memastikan Kek Ekonomi Negara diagihkan secara adil antara kaum dalam semua bidang. Kaum Bumiputera adalah kaum asal dengan jumlah penduduk sekitar 67 peratus. Jurang ekonomi antara kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera makin melebar dan ianya wajib diperbetulkan supaya Kek Ekonomi Negara adil kepada kaum Bumiputera sebagai kaum asal negara Malaysia. Jika tidak, tiada makna kemerdekaan kepada kaum asal sebagai kaum Bumiputera. Ianya bertujuan untuk menjamin keamanan dan keselamatan negara dalam jangka masa yang panjang.

Putra akan memperjuangkan agar diwujudkan “Suruhanjaya Diraja Hak Keistimewaan Orang-Orang Melayu” bagi memastikan perkara yang berkaitan Hak Keistimewaan Orang Melayu seperti perizabankuota berkenaan perkhidmatan awam, biasiswa, keistimewaan pendidikan, latihan, kemudahan khas, lessen, permit perniagaan dan pertukangan untuk orang Melayu dan Bumiputera mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan sepenuhnya.

Kelapan, Putra akan mempertahankan Pengenalan Identiti Bumiputera dan Bukan Bumiputera terus dikekalkan bagi tujuan memudahkan pengagihan Kek Ekonomi Negara secara adil dan bagi memastikan Hak Keistimewaan Melayu yang terkandung dalam Fasa 153 Perlembagaan Persekutuan akan memastikan Pelaksanaan Tindakan Kesungguhan atau ‘Affirmative Action’ dilipatgandakan bagi memartabatkan ekonomi kaum Bumiputera.

Kesembilan, Putra akan memperjuangkan dan memastikan wujud Suruhanjaya Diraja Kewarganegaraan bagi mengkaji semula mereka-mereka yang telah menerima kewarganegaraan Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini kerana terdedahnya isu penjualan kad pengenalan secara besar-besaran oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mengkaji secara telus mengenai dengan kehadiran pekerja-pekerja asing dan pendatang tanpa izin. Urusan kewarganegaraan dan pekerja asing serta PATI tidak ada tolak ansur.

Putra akan memperjuangkan dan memastikan Perkara 18(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai permohonan untuk menjadi warganegara termasuk Jadual 1 Perlembagaan Persekutuan dan mewajibkan kesemua permohonan untuk kewarganegaraan Malaysia wajib lulus ujian Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Putra juga akan memperjuangkan semua pemberian Visa on Arrival dibatalkan sama sekali kerana terbukti telah berlaku ketirisan dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak tertentu.

Kesepuluh, Putra akan memperjuangkan dan mencadangkan agar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menangani rasuah dan penyalahgunaan kuasa secara lebih berkesan dengan mengambil kira seperti kaedah Akta Keselamatan Dalam Negeri, di mana yang disyaki dan tertuduh boleh ditahan selama 30 hari untuk tujuan proses siasatan dan tidak memerlukan perintah mahkamah. Penjenayah-penjenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa mesti menjalani hukuman mandatori rotan dan penjara. – MalaysiaGazette