Atase Pertanian Serantau Kedutaan Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, William Verzani (kanan) menerima masakan dari chef selebriti, Chef Wan selepas membuat demonstrasi masakan burung turkey pada Program 'US Halal Turkey' di Giant Hypermarket Bukit Tinggi, Klang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 28 SEPTEMBER 2019

KLANG – Produk ayam belanda halal dari Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia semakin mendapat tempat dan permintaannya semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

MalaysiaGazette difahamkan sebelum ini negara seperti Australia dan Brazil sudah berhenti mengeksport ayam belanda halal ke negara ini walaupun mempunyai permintaan tinggi.

Atase Pertanian Serantau Kedutaan Besar AS ke Malaysia, William Verzani mendedahkan, ketika ini ayam belanda berstatus halal ini merupakan satu-satunya produk ayam yang di import ke Malaysia.

Sambil menyatakan keyakinan dengan pasaran produk ini ke Malaysia, kata William, pada masa ini negara ini telah mencatat nilai import berjumlah AS$400,000 (RM1.67 juta) bagi pasaran ayam belanda sepanjang 2018 dan ia dijangka terus bertambah.

“Sebenarnya memang produk ayam belanda halal ke Malaysia ini sangat kurang, bagaimanapun permintaan semakin meningkat dan meluas. Itu juga telah berikan kami peluang untuk meneroka dengan meluas pasaran ini.

“Tidak kompetitif tetapi permintaan juga tinggi. Pada masa sama, kita juga ketika ini sedang berkira-kira juga dalam meluaskan pasaran produk halal daging lembu pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas demonstrasi masakan ayam belanda halal dari AS ‘US Halal Turkey’ oleh selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan di Giant Hypermarket Bukit Tinggi, Klang sebentar tadi.

Demonstrasi itu menyaksikan Chef Wan memasak beberapa masakan menggunakan produk ayam belanda AS seperti soto ayam belanda, kari kapitan dan rendang minang yang turut dihadiri oleh pengunjung pasar raya tersebut.

Bercerita lanjut tentang bagaimanakah AS mendapatkan status halal bagi ayam belanda itu, kata William pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk sekian lama sebelum mendapatkan pengiktirafan itu.

“Untuk makluman, kita mempunyai dua institusi yang memberikan kriteria halal produk seperti yang telah digariskan oleh JAKIM.

“Ianya dikenali sebagai Majlis Makanan dan Nutrisi Islam AS (IFANCA) serta Perkhidmatan Islam AS (ISA).

“Mereka juga telah bekerjasama dengan JAKIM antaranya bertanggungjawab memantau proses penghasilan ayam belanda dari Iowa ini memenuhi kehendak dan syariat Islam, seperti ditetapkan JAKIM.

“JAKIM juga telah berkunjung ke tempat ini untuk melakukan pemantauan sebelum memberikan sijil halal, semuanya telah dilakukan dengan penuh fokus dan terperinci,” ujarnya.

IFANCA dan ISA bertanggungjawab memberi latihan kepada pembekal untuk memastikan semua aspek berkaitan seperti penyembelihan, makanan haiwan dan pembersihan menggunakan kaedah patuh syariah.

Permintaan tinggi terhadap ayam belanda meningkat seperti di pasar raya, restoran terutama apabila musim perayaan seperti Krismas, Deepavali dan sebagainya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast