Nadzim (dua dari kiri) melancarkan kedai Oasis Halal Mart di Wisma Maik di Shah Alam.

SHAH ALAM – Umat Islam dan orang Melayu mesti mengubah sikap mulai sekarang, termasuk mendidik anak-anak mereka supaya mengutamakan produk Muslim.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kempen utamakan membeli produk Muslim (BMF) yang dilaksanakan baru-baru ini semakin menampakkan kemajuan.

Beliau berkata, menerusi kempen itu, tidak bermakna orang Islam dan Melayu memboikot produk bukan Islam, sebaliknya mereka mesti mengutamakan yang halal terlebih dahulu.

“Jika masih ada suara mengatakan kita memboikot produk mereka, itu dari golongan yang tidak faham bahasa. Kita dah cakap, kita tak boikot. Kita cuma nak utamakan produk Muslim.

“Dalam mana-mana kempen kita sebelum ini pun, kita tidak pernah sebut boikot produk bukan Islam, tapi kalau dia orang buat kurang ajar dengan kita, baru kita ambil tindakan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas melancarkan Oasis Halal Mart di pekarangan Wisma Mais di sini, hari ini.

Menurut Nadzim, umat Islam dan orang Melayu kena kuat dan perlu mempunyai suara yang cukup kuat untuk menjadi semak dan imbang dalam isu penggunaan barangan keperluan harian.

Ujarnya, suara yang kuat sekurang-kurangnya dapat memberi ketakutan kepada pihak terbabit agar tidak sewenang-wenangnya menghina Islam dan Melayu.

Nadzim Johan

“Kita perlu kumpul suara kita, kita nak suarakan kepada mereka jika kita merasakan ditindas dan dihina,” katanya.

Beliau berharap akan lebih banyak kedai dan kiosk Halal Mart dibuka di masjid seluruh negara atau di mana-mana sahaja sebagai usaha menyokong kepada pembayar zakat.

“Apa yang kita harapkan kedai atau kiosk seperti ini ada di mana-mana, jadi tak ada sebab kita merasakan barangan keperluan ini tidak ada di sekitar kita. Kita perlu berjalan sedikit untuk menyokong produk ini.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mencari, bukan setakat pergi ke pasar raya besar dan beli tanpa mengambil kira produk itu baik untuk kita atau tidak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Kita tak boikot tetapi yang boikot Pasaraya Besar seperti NSK langsung tak jual produk muslim termasuk Buger Ramlee….

Comments are closed.