KUALA LUMPUR – Parti Putra akan melihat perkembangan senarai calon dari parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN) dan Pas sebelum menentukan sama ada mahu meletakkan calonnya atau tidak.
Presiden penaja Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, jika PH dan BN meletakkan calon bukan Melayu, manakala Pas tidak bertanding kerana memberi laluan kepada rakan penyatuan ummahnya, Putra menetapkan dasar akan bertanding.
Katanya, bagi mana-mana pilihan raya kecil atau umum pula, jika mana-mana kerusi majoriti Melayu melebihi 70 peratus, sama ada Pas, UMNO atau PH meletakkan calon Melayu, Putra juga akan bertanding.
“Ini adalah dasar kita untuk setakat ini. Ini disebabkan Putra adalah parti perseorangan, belum menyertai mana-mana blok sama ada pembangkang atau kerajaan.
“Bagaimanapun, kita menyerahkan kepada pengundi Melayu untuk menentukan parti mana yang mereka sokong, sama ada dari segi perjuangan dan komitmen kepada agenda Melayu dan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran dan Permasyhuran Sumpah Keramat 10 Perkara Tuntutan Melayu Bumiputera di Kampung Pindah, Kampung Baru di sini, hari ini.
Kira-kira 4,000 ahli Putra dari seluruh negara membanjiri padang bola sepak Kampung Baru.
Pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik.
Dr. Md. Farid yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, kira-kira jam 6 pagi 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).
Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU-14, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.
Ditanya jika penyertaan Putra boleh memecahkan undi orang Melayu, Dr. Ibrahim berkata, jika calon Melayu dari semua parti bertanding, yang menang atau kalah adalah Melayu.
“Menang pun Melayu, kalah pun Melayu, jadi di mana yang dikatakan Melayu berpecah? Yang pecahnya parti politik.
“Tidak boleh menuduh jika wujud Putra memecah-belahkan Melayu, sebenarnya tuduhan itu hanya sekadar mereka takut apabila mereka bertanding, mereka kalah.
“Dan kalau mereka kalah, (ditakdirkan) Putra menang, apa masalahnya?” soal beliau. – MalaysiaGazette