Shahir Adnan

Sudah pastinya seluruh rakyat Malaysia, terutama anak muda menanti dengan penuh debaran akan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng pada hari Jumaat, 11 Oktober 2019.

Mengikut tradisi, pembentangan akan disiarkan secara langsung di saluran televisyen dan radio utama negara kita.

Berbaki lebih kurang 2 minggu dari sekarang, eloklah kita menyoroti kembali Belanjawan 2019, khususnya yang dijanjikan kepada anak muda.

Antara intipati Belanjawan 2019 yang berkait rapat dengan anak muda adalah belanjawan pembangunan belia dan sukan iaitu RM100 juta diperuntukkan sebagai persediaan atlet ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dengan harapan membawa pulang pingat emas pertama negara.

RM10 juta juga diperuntukkan untuk membangun dan menggalakkan E-sports, sebagai sebuah aktiviti dan industri yang diminati oleh generasi muda, yang melibatkan kejuruteraan perisian dan pemaju permainan digital.

Belanjawan 2019 juga menyaksikan peruntukan RM 1 bilion diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang merangkumi agihan kepada pembangunan belia.

Secara keseluruhan, KBS mendapat peruntukan sebanyak RM1,110 juta atau RM 1.11 bilion. Sudah pastinya, Menteri KBS, YB Syed Saddiq gembira.

Persoalannya hari ini, adakah Kementerian Belia dan Sukan telah membelanjakan peruntukan tersebut dengan manfaat yang menyeluruh kepada anak muda demi pembangunan belia dan para atlet negara?

Berdasarkan berita terkini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap Kementerian Kewangan meningkatkan peruntukan bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Belanjawan 2020, berbanding RM1.11 bilion yang diterima pada tahun ini.

Timbalan Menterinya, YB Steven Sim Chee Keong berkata peruntukan tambahan itu penting bukan sahaja untuk persediaan terakhir ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, malah untuk pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa KBS untuk memberikan penjelasan kepada seluruh rakyat Malaysia berkenaan aliran peruntukan dana tersebut kerana beberapa faktor yang masih menjadi tanda tanya hingga hari ini.

I. RM 10 juta peruntukan E-sports:

a. Tiada sebarang rangka tindakan (blue print) hingga hari ini. Menteri Belia dan Sukan mengeluarkan kenyataan bahawa rangka tindakan E-sports berada di peringkat akhir penyediaan dan akan dibentangkan pada bulan April 2019. Malangnya setelah 6 bulan berlalu dan memasuki bulan Oktober 2019, rangka tindakan E-sports masih tidak dikongsikan kepada rakyat. Harapan belia hancur!

b. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa KBS memperincikan penyaluran RM 10 juta peruntukkan tersebut jika tiada rangka tindakan masih boleh dilaksana. Setakat ini, hanya kehadiran abang Menteri sebagai “tetamu kehormat” di acara E-sports Malaysia menjadi tajuk berita E-sports.

II. RM 100 juta peruntukan kepada atlet:

a. Atlet lempar cakera negara, pernah merungut bahawa beliau terpaksa menggunakan perbelanjaan sendiri yang dianggarkan melebihi RM 100,000 untuk menjalani latihan selama tiga bulan di Prague kerana tidak mempunyai kelengkapan lengkap di dalam negara. Harapan belia hancur!

b. Situasi yang amat mengecewakan apabila keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang sekadar menyasarkan lima pingat emas di Sukan SEA Filipina berbanding pencapaian lapan pingat emas yang diraih 2 tahun lalu. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa KBS mencari punca, menyiasat dan membaiki secepat mungkin mengapa sasaran dikurangkan walhal peruntukan kepada KBS adalah lebih kurang sama pada 2 tahun lepas. Jelas KBS kurang keyakinan kepada atlet negara.

III. RM 1 bilion peruntukan kepada pembangunan belia dan atlet:

a. Sukan mendaki Malaysia ibarat hidup segan mati tidak mahu. Hal ini disebabkan tiada program khusus diaturkan sehingga mencetuskan rasa kecewa atlet negara. Difahamkan setelah tamatnya Sukan Asia 2018, para atlet berlatih bersendirian tanpa program rasmi oleh KBS. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa pihak berwajib untuk menyediakan bantuan dalam bentuk latihan, jurulatih dan kemudahan sistem yang betul untuk membawa sukan ini sebaris dengan perkembangan di negara rantau Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia dan Singapura. Jika tidak, Malaysia tetap di takuk lama. Harapan belia hancur!

b. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) turut menyelar tindakan melantik seramai 13 ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) bagi mengisi jawatan Pegawai Penyelaras Pembangunan Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di negeri-negeri. Dalam surat tersebut, yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MSN, Abdul Rashid Yaakub turut memaklumkan bahawa Menteri Belia dan Sukan telah bersetuju dengan pelantikan tersebut. Persoalannya, adakah sebahagian daripada peruntukan RM 1 bilion ini disalurkan kepada Pegawai Penyelaras untuk melaksanakan program di negeri masing-masing?

c. Program Jelajah YouthPower menerusi Youth Power Club yang diwujudkan dilihat menggunakan logo KBS pada aktiviti-aktiviti mereka. Persoalannya, mengapa diwujudkan YPC ketika ada pelbagai persatuan belia lain yang sudah terbukti membantu anak muda, seperti Majlis Belia Malaysia? YB Menteri digesa menjelaskan jumlah penyaluran peruntukan untuk program YPC ini. Harapan belia hancur!

5. Sebagai penutup tinta kali ini, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru rakyat, terutama anak muda terus ingat dan jangan lupa akan susah payah yang kita terpaksa tempuhi ini sehingga PRU-15 dek kecelaruan yang ditimbulkan oleh pimpinan Pakatan Harapan. Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan pimpinan Pakatan Harapan yang leka dengan kerakusan politik mereka hari ini. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sentiasa cakna akan hal-hal anak muda terutama berkaitan jati diri Bangsa Malaysia, kemerosotan ekonomi negara dan penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia. Bertabahlah rakyat sekalian. Salurkan kegusaran anda kepada kami kerana kami mendengar denyut nadi kalian.

Selamatkan Malaysiaku!

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Pemuda Gagasan Sejahtera