Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof membuat penjelasan berhubung penjualan aset strategik Tabung Haji (TH) bernilai RM2.6 bilion.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah itu termasuk keseluruhan pegangan saham TH dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bernilai RM1.8 bilion.

Kata beliau, penjualan keseluruhan saham TH dalam TNB amat mengejutkan kerana TNB bukan syarikat bermasalah, bahkan salah sebuah syarikat paling stabil dari segi keuntungan setiap tahun.

Malah katanya, saham TNB sentiasa membayar dividen yang tinggi kepada TH setiap tahun.

“Lebih pelik apabila dijual ketika harga saham TNB adalah rendah kerana Bursa Malaysia berkedudukan tercorot berbanding bursa negara seantero dunia yang lain,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Justeru, tegas Dr. Asyraf Wajdi, Pemuda UMNO sekali lagi mendesak menteri yang menjaga semua agama itu memberi penjelasan segera sebelum makin ramai pendeposit hilang kepercayaan kepada TH.

Kata beliau, Pemuda UMNO juga inginkan kepastian apakah benar wang pendeposit dalam TH turut merosot teruk daripada RM74 bilion kepada RM69 bilion ketika ini.

“Kami menyarankan kekanda Dr. Mujahid untuk kembali fokus kepada tugas hakiki, jangan hanya sibuk menyerang pembangkang dengan pelbagai kenyataan pelik mengenai penyatuan ummah dan muafakat nasional,” ujarnya. – MalaysiaGazette