Tidak ada langsung garis masa “2 tahun” transisi perletakan jawatan dalam dokumen yang ditandatangani oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

SAYA memohon izin untuk mengupas satu demi satu dan menjelaskan mengapa kenyataan Syed Husin Ali dilihat tidak bertanggungjawab dan terpesong.

*Tun M tidak boleh dipercayai. Rakyat mendesak transisi kepimpinan kepada DS Anwar Ibrahim*

Saya percaya bahawa sudah berulang-ulang kali Tun Dr. Mahathir memaklumkan bahawa beliau menghormati keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan berkenaan status beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia dan hala tuju masa hadapan. Mengapa bersungguh-sungguh dan terburu-buru membuka isu ini lagi?

Serangan seperti inilah yang menimbulkan persepsi bahawa ada tangan-tangan ghaib yang ingin memporakporandakan negara supaya Tun Dr. Mahathir didesak untuk meletakkan jawatan. Malah, ia menimbulkan spekulasi yang tidak perlu dan tidak diingini.

Kalau betul mahukan Tun Dr. Mahathir berundur secara terhormat, berilah ruang untuk Tun mentadbir negara dan bukan asyik-asyik mendesak beliau berundur walhal beliau dipilih oleh rakyat sebagai YAB Perdana Menteri. Itulah makna terhormat.

Saya merupakan salah seorang ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan. Saya merupakan wakil tunggal Pemuda dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan, khususnya semasa perjanjian ditandatangani. Tidak ada langsung garis masa “2 tahun” transisi perletakan jawatan dalam dokumen yang ditandatangani oleh kami.

Kalau tiada, mengapa ada cubaan berbohong kepada rakyat? Kenapa mendesak Tun Dr. Mahathir letak jawatan sekarang walhal perkara ini tidak pernah dipersetujui oleh kami? Mana Syed Husin Ali semasa perbincangan ini berlaku? Mungkin dia lebih tahu dari kami semua yang terlibat dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Rakyat dahagakan pembaharuan dan penambahbaikan, bukan obsesi transisi, bukan perebutan kuasa dan bukan politik sabotaj. Obsesi transisi dan “excessive politicking” memusnahkan impian kerajaan untuk membawa reformasi yang menyeluruh dan memulihkan ekonomi negara.

Apabila jerebu menyelimuti Malaysia, isu transisi dibincangkan dengan hangat lagi.

Apabila Tun Dr. Mahathir sedang meyakinkan pelabur pelabur di luar negara, isu transisi dibangkitkan lagi.

Apabila Tun Dr. Mahathir sedang sibuk memperkasakan institusi semak imbang seperti SPRM, PDRM & media, isu transisi lagi sekali dibangkitkan.

Enough is enough. Bagaimana kita semua mahu melangkah ke hadapan apabila ada tangan-tangan ghaib yang mahukan kita untuk gagal?

*Apa keperluan YAB Tun M berulang-alik ke luar negara membazirkan duit rakyat. Apa hasilnya?*

Kita semua faham status Malaysia sebagai negara kleptokrasi sebelum PRU14. Imej negara tercalar di mata dunia. Banyak pelabur takut untuk datang ke Malaysia. Perjanjian berat sebelah seperti ECRL juga berleluasa. Adakah kita mahu menikuskan diri dari “Global diplomacy” yang mampu memulihkan imej Malaysia di mata dunia?

Setiap satu lawatan rasmi Tun Dr. Mahathir ke negara luar sentiasa disusun dengan rangka kerja yang dapat memberikan manfaat besar kepada Malaysia dan isinya.

Sejak beberapa lawatan rasmi Tun Dr. Mahathir ke negara luar yang lepas, saya sendiri boleh memetik beberapa kejayaan besar yang hanya dapat dicapai dengan kerja keras Tun Dr. Mahathir dan warga pentadbiran awam yang lain.

Antaranya:

• Rundingan semula dengan China berkenaan projek ECRL dapat menyelamatkan lebih RM21.5 bilion wang rakyat & melipatgandakan eksport kelapa sawit Malaysia ke China.

• “Quarter-to-quarter investment” dari Amerika Syarikat meningkat dari RM475 juta (2018) ke lebih RM23 bilion (2019)!

• Pelaburan dari Jepun meningkat secara mendadak dan bakal membuka universiti & hospitalnya di Malaysia.

• Malaysia bersama-sama Turki & Pakistan akan mengerakkan kempen besar-besaran untuk memerangi Islamophobia. Perpaduan Ummah yang sebenar antara negara-negara Islam.

• Maruah negara dipulihkan & Malaysia dikenali sebagai negara yang mengamalkan “rule of law” & bukan lagi sebagai negara kleptokrasi, sekaligus mengembalikan kepercayaan pelabur-pelabur asing.

Bukankah ini semua manfaat kepada negara Malaysia? Sudah tentu banyak lagi kerja yang harus kita semua lakukan untuk negara, tetapi merendah-rendahkan usaha Tun Dr. Mahathir hanya dengan menggelarnya sebagai “berulang-alik ke luar negara membazirkan duit rakyat” adalah sangat tidak wajar.

*Kerosakan negara semua salah Mahathir, dari dulu sampai sekarang*

Saya ingin lontarkan beberapa persoalan dengan kenyataan ini.

Kalau negara rosak bawah pemerintahan Tun Dr. Mahathir, adakah ia juga bermaksud Menteri-menteri, khususnya Timbalan Perdana Menteri pada masa tersebut juga patut dipersalahkan? Timbalan Perdana Menteri dahulu merupakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kini, Datuk Seri Wan Azizah.

Kalau Tun M terpaksa dipersalahkan dalam semua perkara, adakah ia juga bermaksud beliau boleh “claim all credit” dalam segala pembangunan negara yang berlaku semasa 22 tahun pentadbirannya?

KLIA, Menara Berkembar Petronas, Putrajaya, Proton, Litar Antarabangsa Sepang, UITM, MRSM, peruntukkan biasiswa MARA yang menaik dengan mendadak dan lain lain. Belum lagi jika kita hitung jutaan peluang pekerjaan berkualiti yang tercipta semasa pentadbirannya. Kita sendiri merasa nikmat nama Malaysia dihormati dan disegani di mata dunia.

Ya. Memang betul, tiada pemimpin yang bebas dari melakukan kesilapan. Persoalannnya, kenapa kita cuba sabotaj usahanya sekarang untuk memperbaiki kedudukan ekonomi negara? Adakah desakan- desakan untuk beliau letak jawatan secepat mungkin akan memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara? Sudah tentunya tidak.

Malah, lihat sahaja Indeks Demokrasi 2019 yang meletakkan Malaysia di tangga 52 dari 165 negara serta Laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat yang menobatkan Malaysia negara keempat terbaik   Asia Pasifik berbanding ketujuh pada 2016! Adakah ini bukan perkembangan positif yang kita raih bersama?

Seharusnya, setiap bual bicara, cabang idea dan karangan rencana kita semua menjurus kepada pembangunan negara dan menyumbang kepada masyarakat. Jika tidak, pendamkan sahaja niat memburuk-burukkan seseorang.

Cukup-cukup lah taksub berpolitik. Rakyat mahukan kita fokus kepada “politik perut” mereka, bukan sibuk dengan politik perebutan kuasa. Kami yang berkhidmat, bukan yang berhormat.

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Menteri Belia dan Sukan
Ketua Pemuda Harapan
Ketua Armada Bersatu

*Pandangan ini dikongsi oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di laman Facebook

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast