Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman bercakap kepada media pada Program Libat Urus Terbuka 'Reformasi Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya di Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) mencadangkan agar kerajaan mula menggunapakai sistem ‘proportional representative (perwakilan berkadar) dalam menentukan parti mana yang boleh membentuk kerajaan.

Jelas pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, ia dilihat lebih bersifat adil terutama kepada parti kecil untuk mendapat tempat dalam Dewan Rakyat.

“Sistem ‘proportional representative’ sesuai bagi memilih parti untuk membentuk kerajaan. Sistem ini membolehkan parti yang paling banyak menerima undi tertinggi akan membentuk kerajaan.

“Pemilihan bukan bersandarkan kepada calon, tetapi parti yang bertanding. Misalnya sesuatu parti mendapat 60 peratus undi, maka parti itu akan dapat 60 peratus kerusi,” katanya kepada media selepas Program libat urus Terbuka Reformasi Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya, hari ini.

Perwakilan berkadar ialah suatu sistem pengundian atau pilihan raya di mana keputusan akhir pilihan raya adalah berdasarkan kepada agihan undi yang diperolehi oleh setiap parti seperti kebanyakan negara Eropah.

Malah katanya sistem yang diguna pakai di beberapa negara khususnya di Jerman, Ameria Syarikat, New Zealand dan Australia dilihat lebih adil kepada parti-parti kecil untuk mendapatkan kerusi.

“Sistem ini juga boleh memperuntuk kerusi khas untuk kelompok tertentu seperti Orang Asli,” katanya lagi.

Walabagaimanapun katanya, sistem sedia ada iaitu ‘first past the post’ masih boleh digunapakai di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sistem ‘first past the post’ masih penting di peringkat DUN kerana rakyat di luar bandar masih memerlukan wakil rakyat untuk menjadi penghubung dengan sistem penyampaian kerajaan.

Untuk perubahan itu, beliau berkata kerajaan masih boleh mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) berkonsep dua kertas undi.

Bagaimanapun, kertas-kertas undi berkenaan akan memaparkan nama calon bagi peringkat DUN dan parti untuk kawasan Parlimen. -MalaysiaGazette