ADUN Lenggeng, Suhaimi (dua dari kiri) bertanya khabar dan menyampaikan bantuan kepada penduduk yang menjadi mangsa kejadian ribut.

KUALA LUMPUR – Keprihatinan dalam menyantuni rakyat terus menjadi agenda utama kerajaan Negeri Sembilan terutama kepada mangsa yang dilanda musibah bencana alam serta kedaifan hidup.

Terbaru, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM70, 000 bagi membantu lebih 10 mangsa yang terlibat dalam kejadian ribut di Lenggeng, dua hari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim berkata, peruntukan itu sedikit sebanyak dapat membantu mangsa yang mengalami musibah tanpa disangka.

“Saya amat bersyukur kerana kerajaan negeri memberi perhatian segera berhubung kejadian yang menimpa penduduk di kawasan saya.

“Ini membuktikan kerajaan negeri tidak sesekali mengabaikan keperitan yang dialami rakyat.

“Lebih 10 penduduk berduka apabila rumah mereka rosak dalam kejadian itu. Alhamdullilah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” kata beliau ketika ditemui selepas turun melihat kawasan dan rumah yang terjejas akibat ribut.

Dalam kejadian Isnin lalu, lebih 10 rumah sekitar kawasan Lenggeng mengalami kerosakan teruk akibat dihempap pokok yang tumbang akibat ribut melanda.

Justeru, Pusat Khidmat DUN Lenggeng tidak menunggu tempoh lama apabila mengambil tindakan segera dengan mendapat bantuan dari agensi berkaitan, terutama Bomba, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), Rela dan penduduk untuk membantu kawasan terjejas.

Dua anggota Bomba dan Penyelamat memotong pokok yang tumbang dalam kejadian ribut di kawasan DUN Lenggeng kelmarin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit termasuk Majlis Pemuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) yang membantu mangsa berkenaan.

“Keprihatinan semua pihak sekurang-kurangnya mampu memberi sedikit kelegaan kepada mangsa. Sudah pasti kedukaan mereka terubat apabila kita semua ambil perhatian,” kata Suhaimi.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri tidak akan sesekali melihat rakyat berada dalam kesusahan dan akan terus memberi perhatian sewajarnya demi kelangsungan hidup mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast