Penunjuk perasaan melontar tin gas pemedih mata ketika melakukan demonstrasi di Baghdad, Iraq. foto Agensi

BAGHDAD – Iraq mengisytiharkan perintah berkurung bermula awal hari ini sehingga satu tempoh diberitahu kelak.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi selepas dua hari protes anti-kerajaan di seluruh negara bertukar menjadi ganas.

“Semua kenderaan dan individu dilarang sama sekali untuk bergerak di Baghdad pada jam 5 pagi hari ini – Khamis, dan sehingga notis selanjutnya,” kata Abdul Mahdi dalam satu kenyataan.

Pengembara yang mahu masuk dan keluar dari lapangan terbang Baghdad, ambulans, pekerja kerajaan di hospital, elektrik, jabatan air, dan jemaah agama dikecualikan daripada perintah berkurung, kata kenyataan itu.

Abdul Mahdi berkata, ia terpulang kepada gabenor wilayah masing-masing untuk memutuskan sama ada mahu mengisytiharkan perintah berkurung di lain-lain kawasan di Iraq.

Protes oleh rakyat Iraq berlarutan bagi menjatuhkan kerajaan bagi membolehkan perubahan dilakukan dalam isu pengangguran, ekonomi, rasuah dan bekalan air serta elektrik.- MalaysiaGazette