KUALA LUMPUR- Syarikat penyedia perkhimatan e-hailing, Grab menegaskan mereka terkejut dengan keputusan cadangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung penyalahgunaan kedudukan dominannya dalam pasaran selepas mengambil alih operasi Uber di Asia Tenggara.

Jurucakap Grab berkata, peguam-peguam syarikat ketika ini sedang mengkaji keputusan cadangan berkenaan.

Katanya, mereka akan menghantar laporan bertulis kepada MyCC sebelum 27 November ini.

“Kami ingin menegaskan bahawa kami telah sepenuhnya mematuhi Akta Persaingan 2010.

“Kami terkejut apabila menerima keputusan cadangan tersebut pagi tadi.

“Kami percaya kesediaan dan jenis iklan pihak ketiga yang disiarkan di platform masing-masing direka mengikut keperluan dan maklum balas pelanggan adalah satu amalan biasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini

Grab mungkin berdepan denda lebih RM86.7 juta selepas MyCC mengeluarkan keputusan cadangan terhadap syarikat pengendali e-hailing itu, hari ini berhubung penyalahgunaan kedudukan dominannya dalam pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, keputusan cadangan itu dikeluarkan selepas proses siasatan terhadap pelbagai aduan yang diterimanya sejak penggabungan Grab dan Uber pada penghujung Mac 2018 selesai.

Susulan itu kata beliau, Grab diberi tempoh 30 hari bermula hari ini bagi mengemukakan representasi pembelaan terhadap keputusan cadangan terbabit sebelum keputusan akhir dikeluarkan.- MalaysiaGazette