KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan wajar menerima cadangan beberapa pihak agar jawatan warden sekolah dilantik dalam kalangan bukan guru.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, jika guru diberi jawatan itu, elaun mereka harus dinaikkan, bukan sekadar RM280 sebulan yang dianggap langsung tidak setimpal dengan tugasan dipikul guru terbabit.
Beliau yang sependapat dengan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan harus memandang serius rungutan guru.
“Rungutan guru dan NUTP ini perlu dipandang serius oleh Kementerian Pendidikan demi memastikan kualiti guru terjaga.
“Oleh itu, saya mencadangkan kementerian mewujudkan jawatan warden yang khusus dilantik bukan dari kalangan guru serta mempertimbangkan semula elaun tambahan yang diberikan agar guru berkenaan tidak merasakan tugas tersebut sebagai bebanan bagi mereka.
“Pada sesi Perbahasan Diraja sidang lalu, saya ada menyentuh isu guru yang terpaksa memikul bebanan sebagai warden, namun belum mendapat apa-apa maklum balas sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Kelmarin, media melaporkan Aminuddin sebagai berkata, masih terdapat guru ‘dipaksa rela’ menjadi warden sekolah berasrama penuh oleh pengetua.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja menambah bebanan tugas hakiki seorang guru, skop kerja tambahan tersebut juga akan menjadikan tanggungjawab seorang pendidik itu tidak efisien.
Beliau percaya tiada guru yang sukarela untuk menjadi warden melainkan mereka ini ‘dipaksa’, dan hanya sesetengah sekolah membuat sistem penggiliran memandangkan ramai guru menolak untuk menjadi warden.
Menurut Shaharizukirnain, perkara itu meletakkan tugas guru yang juga warden seolah tidak perlu diberi perhatian, sedangkan isu guru tertekan dengan bebanan tugas jelas menzahirkan tugas hakiki yang sudah cukup terbeban sama ada tugasan mengajar di dalam kelas mahupun luar kelas.
Tambahan pula, katanya, guru yang terpaksa menjadi warden tidak diberikan elaun mencukupi iaitu sekadar RM280 sebulan. – MalaysiaGazette