Gambar hiasan

SINGAPURA-  Sebuah konsortium yang diketuai kumpulan ekuiti swasta Asia, RRJ Capital telah menghantar kertas cadangan untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol Malaysia, PLUS Malaysia Bhd. pada harga RM3 bilion.

Dalam satu dokumen yang dilihat Reuters, Pengerusi RRJ Capital Richard Ong berkata, firma pelaburan itu boleh mengurangkan kadar tol sebanyak 20 peratus sekiranya pengambilan alih itu berjaya.

Cadangan pengambilan alih itu tertakluk kepada syarat-syarat termasuk pelanjutan tempoh konsesi tol selama 20 tahun lagi oleh kerajaan.

“RRJ sedang membuat persiapan segera dengan penasihat-penasihat kewangan dan teknikal kami untuk memulakan rundingan dan kajian kebolehsanaan sekiranya cadangan tersebut diterima,” katanya dalam sepucuk surat bertarikh 25 September lalu.

Diasaskan bersama oleh dua beradik rakyat Malaysia iaitu Richard dan Charles Ong, RRJ beroperasi dari pejabat di Hong Kong dan Singapura.

Dua beradik itu merupakan ahli pelaburan veteran yang telah berjaya meraih berbilion dolar di RRJ dan telah melabur dalam pelbagai syarikat di dunia.

PLUS Malaysia dimiliki 51 peratus oleh UEM Group yang merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional manakala bakinya milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tabung wang persaraan itu bagaimanapun tidak memberi maklum balas ketika diminta memberi komen mengenai perkara tersebut manakala Khazanah berkata, mereka menyerahkan semua keputusan kepada kerajaan.

“Terdapat beberapa cadangan mengenai lebuh raya bertol. Khazanah sendiri telah menghantar kertas cadangan kami sendiri kepada kerajaan. Apa pun, semuanya terserah kepada kerajaan untjk memberi pertimbangan terhadap cadangan-cadangan tersebut dan apa yang terbaik kepada negara dan rakyat,” kata jurucakapnya kepada Reuters.

Menurut RRJ, kertas cadangan untuk membeli keseluruhan syarikat tersebut termasuk kepentingan UEM Group dan KWSP dalam bentuk saham pinjaman tidak bersekuriti boleh tebus semula yang diterbitkan oleh anak syarikat milik penuh PLUS Malaysia, Projek Lebuhraya Usahama.

“RRJ sangat fokus dalam membuat pelaburan ekuiti jangka panjang di Asia Tenggara. Fokus kami adalah syarikat-syarikat besar dan pelaburan utama infrastruktur seperti lapangan terbang, pelabuhan kontena, loji penapisan air dan lebuh raya bertol,” katanya dalam satu emel kepada Reuters.

Menurut RRJ, mereka terbuka untuk bekerjasama dengan KWSP dan bekerjasama rapat dengan projek-projek kerajaan.

Ia bagaimanapun enggan mengulas mengenai projek-projek tersebut secara khusus. – Agensi