Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Gesaan beberapa pihak supaya  kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengembalikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dijawab Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, kerajaan PH akan mengkaji semua pelaksanaan itu sekiranya rakyat di negara ini mahu GST dikenakan ke atas mereka.

“Kalau rakyat percaya bahawa GST lebih baik, kita akan kaji.

“Kalau itu kehendak rakyat kita akan kaji sama ada GST lebih baik daripada SST,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA), di Auditorium Kompleks D, Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Kelmarin Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyarankan kerajaan supaya memperkenalkan semula cukai GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

Pengerusinya, Tan Sri Kamal Salih menyifatkan GST sistem pencukaian yang saksama kepada semua peringkat masyarakat dan memastikan kerajaan memiliki kewangan yang kukuh ketika harga minyak mentah susut di bawah US$36 setong pada 2015.

“GST merupakan sistem yang saksama, namun beberapa pihak mengatakan ia regresif kerana golongan miskin akan terkesan.

“Bagaimanapun, kita mempunyai klausa khusus yang akan melindungi kumpulan berpendapatan rendah atau B40,” katanya.

Pandangan  MIER itu turut disokong wakil rakyat PKR daripada Perlis, Noor Amin Ahmad yang bersetuju bahawa sistem pencukaian berkenaan lebih baik.

Malah Ahli Parlimen Kangar itu memaklumkan bahawa pendiriannya mengenai kebaikan GST telah pun disampaikan semasa ucapan sulungnya di Dewan Rakyat tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman sebelum ini juga melahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bersikap ‘berani kerana benar’ jika mendapati pengenalan semula GSTpenyelesaian terbaik dalam merancang dan menguruskan kewangan negara bagi menjamin kemakmuran bersama.

Malah katanya kalau wujud keperluan memperkenalkan semula cukai itu, tidak salah untuk melaksanakannya dan mengenepikan alasan politik. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

MIER gesa kerajaan perkenal semula GST dalam Belanjawan 2020