M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia akan menjelaskan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di sini bahawa tindakan telah diambil terhadap sebuah syarikat pengeluar sarung tangan getah tempatan susulan tindakan negara itu mengenakan sekatan terhadap pengimportan produk yang disyaki dibuat dengan menggunakan unsur buruh paksaan.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata, dalam pertemuan dengan pegawai kedutaan itu, pihaknya akan memperjelaskan bahawa hanya sebuah pengeluar sarung getah Malaysia telah diharamkan dan bukan industri pengeluar sarung tangan getah secara keseluruhan.

Semalam, Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat mengumumkan ia telah mengeluarkan Perintah Pelepasan Pegangan kepada lima produk berlainan yang diimport dari lima negara setelah disyaki menggunakan buruh paksaan.

Sekatan tersebut turut melibatkan import sarung tangan getah pakai buang oleh sebuah syarikat tempatan atas alasan syarikat itu Malaysia itu terbabit dengan unsur buruh paksaan.

“Syarikat yang dipersoalkan itu telah disiasat dan kementerian telah mendakwa syarikat itu di mahkamah pada Februari lalu dan mereka mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda, Mei lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata selepas rundingan dengan Jemaah Menteri mengenai perkara itu, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan semua pengeluar sarung tangan getah Jumaat ini bagi menjelaskan akibat unsur penindasan terhadap pekerja dalam operasi masing-masing.

“Dalam banyak ucapan dan kenyataan terdahulu, saya telah bercakap tentang keperluan syarikat membasmi unsur buruh paksaan dalam operasi dan rantaian bekalan mereka. Perkara ini tidak dapat dielakkan apabila laporan telah dibangkitkan,” katanya.

Kula Segaran berkata, kementeriannya komited dan mengambil langkah sewajarnya dalam mendidik orang ramai mengenai kesan buruk buruh paksaan serta memperjuangkan peningkatan hak pekerja.

Beliau berkata antara langkah yang diambil secara berterusan adalah pemeriksaan secara aktif unsur buruh paksaan oleh Jabatan Buruh di setiap negeri serta mendidik majikan dan pekerja mematuhi undang-undang buruh di Malaysia termasuk Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Kerajaan menerusi PERKESO juga meningkatkan perlindungan sosial bagi pekerja asing di bawah Skim Bencana Pekerjaan bermula 1 Januari lalu di mana, pekerja asing turut menikmati faedah sama seperti disediakan kepada pekerja tempatan yang mengalami kecederaan di tempat kerja.

“ Kementerian juga sentiasa bekerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi memastikan kejayaan projek berkaitan buruh paksaan seperti menganjurkan program kesedaran dan buruh kanak-kanak.” katanya. – Bernama