KUALA LUMPUR – Aktivis politik hilang hormat kepada sejarawan, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling selepas mengulas mengenai himpunan Kongres Maruah Melayu yang akan diadakan Ahad ini.
Mohd Rafi Awang Kechik berkata, sejarawan itu yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif Sekretariat kepada kongres berkenaan dilihat cuba menegak benang basah apabila menafikan himpunan anjuran institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Shah Alam itu berunsur politik.
“Membaca dan mendengar penafiannya dalam saluran media elektronik dan portal atas talian mengenai kongres dianjurkan beberapa IPTA bahawa mereka bebas daripada politik membuatkan rasa hormat kepada nilai intelektual yang ada padanya selama ini mulai hilang.
“Kita nak tanya, ahli mesyuarat yang hadir dalam perbincangan sekretariat seperti (Datuk Seri) Hamzah Zainudin (Ahli Parlimen Larut), (Datuk) Dr. Abd Latiff Ahmad (Mersing) dan (Datuk Seri) Mustapa Mohamad (Jeli) itu mewakili IPTA mana?
“Bahkan, boleh dilihat kedudukan dalam mesyuarat juga seolah yang mempengerusikan mesyuarat bukan Dr. Zainal, tetapi Hamzah dan sekali lagi hendak tanya, Hamzah (bekas Ketua UMNO Bahagian Larut) itu mewakili institut pemikiran Melayu mana?,” soal beliau yang dipetik statusnya dalam Facebook beliau semalam.
Menurut Mohd Rafi, beliau menyifatkan Dr. Zainal cuba memperbodohkan orang Melayu dengan kelayakan akademiknya itu.
Soal beliau lagi, terdesak sangatkah sejarawan itu sehingga sanggup bersubahat dan cuba hendak menutup punca kenapa kongres berkenaan secara tiba-tiba menjadi agenda empat IPTA itu.
“Di mana Dr. Zainal dan institut yang ada kaitan dengan Melayu ketika bangsa, agama dan Raja-Raja Melayu dihina secara terbuka, bahasa Melayu diperlekeh, tulisan Jawi dipertikai, kelulusan UEC diberi tempat secara sah.
“Di mana beliau ketika ekuiti dan ekonomi melalui agensi yang menjaga kepentingan Bumiputera dirobek, ketika pensyarah Melayu dipersalahkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana membantu Raja-Raja Melayu faham mengenai Statut Rom yang hampir dikenakan tindakan disiplin.
“Mana beliau dan institusi akademik Melayu di empat IPTA itu ketika Rule of Law dilanggar secara terbuka oleh Peguam Negara? Apakah semua peristiwa yang merobek maruah Melayu ini baru berlaku bulan lepas?,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan di mana secretariat yang dibentuk oleh profesor itu ketika pelajar Melayu teraba-raba setelah tertipu dengan penghapusan pinjaman PTPTN, bantuan baucar buku mahasiswa dihapuskan, malah lebih teruk desakan untuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) supaya terbuka untuk semua kaum dan kouta kemasukan bukan Melayu ditambah di semua IPTA.
Apakah, ujar beliau, Perkara 153 Hak Keistimewaan Orang Melayu yang selalu meniti di bibir Dr. Zainal sudah lain tafsirannya.
“Atau apakah beliau dan sekreteriat kongres mendapat ilham dan perlu mengadakan Kongres Maruah Melayu ini setelah gusar melihat peristiwa Penyatuan Ummah pada 14 September lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),” katanya.
Beliau menjelaskan, secara ilmiahnya pencerobohan maruah Melayu itu berlaku secara terbuka sejak kerajaan PH yang dikuasai DAP memerintah sehingga hilang suara bijak pandai Melayu daripada berkongres, bersidang dan menyatakan bantahan secara terbuka.
“Kadang-kadang lebih memalukan kerana yang terlebih ke depan membela dan bersuara adalah bijak pandai bukan Melayu yang membela dasar pendidikan, membantah UEC, menyokong tulisan Jawi dan gerakan Buy Muslim First (BMF).
Menjadi lebih malang, katanya lagi, sebahagian intelektual Melayu yang hari ini hidup selesa dan mendapat nikmat kerana mereka itu Melayu dan dasar yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini melahirkan mereka melalui Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB).
“Baguslah jika kongres ini dijadikan langkah pertama, tetapi apabila membawa masuk orang politik tiada maruah duduk bersama, tidak salah bila masyarakat umum yang tertipu dengan penafian akan mengatakan kongres ini tidak lebih daripada usaha psikologi kepada orang Melayu bahawa PPBM dan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi alat DAP masih lagi disokong oleh orang Melayu kerana jumlah kerahan yang hadir nanti mencapai sasaran 20,000 orang,” katanya.
Menurut Mohd Rafi, jika betul empat IPTA itu hendak bersama dalam mengangkat maruah Melayu, rasanya tidak perlu menjadi alat kepada parti serpihan Melayu yang jumlah kedudukan dalam kerajaan pun menjadi seperti melukut tepi gantang.
“Berilah apa juga resolusi kongres kepada Dr. Mahathir, semuanya tidak bermakna kerana yang akan menentukan seterusnya adalah DAP. Apatah lagi dengan suasana tekanan berikutan janji menyerah jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mula menjadi rahsia umum.
“DAP sedang menyusun sesuatu yang akan memberi kelebihan kepada mereka dengan dibantu sejarawan dan bekas pemimpin UMNO yang tidak bermaruah, yang ada dalam PPBM,” ujarnya.
Beliau mengingatkan kepada mahasiswa yang dikerah dan dibayar untuk ke Stadium Melawati, Shah Alam Ahad ini tidak membiarkan kelompok intelektual Melayu yang membentuk sekteriat menjadi alat kepada orang Melayu tidak bermaruah. – MalaysiaGazette