KUALA LUMPUR – Kumpulan rock, Nickelback menjadi mangsa terbaharu “perang” di antara Presiden Donald Trump dan pencabarnya, Joe Biden serta anak beliau, Hunter Biden.
Pelbagai perkara telah dilakukan dan yang terbaharu, Trump mengambil jalan memuat naik sebuah video lagu Nickelback bertajuk Photograph dengan sekeping foto Hunter sedang bermain golf dengan eksekutif-eksekutif kanan sebuah syarikat minyak Ukraine.
Asal-usul video tersebut tidak dapat dikenal pasti bagaimanapun, klip video berkenaan telah menyebabkan pertikaian di antara warganet yang antara lain mahu Trump tidak mengganggu kumpulan rock ternama dari Kanada itu.
“Bayangkan anda sedang berehat di rumah, menyisip kopi panas sambil memetik gitar dan tidak semena-mena anda terperangkap berada dalam sebuah kontroversi politik,” kata seorang warganet, Lynn Deinert.
Sudahlah kumpulan rock yang terkenal pada era 1990an/2000 itu sering dibenci dan dijadikan momokan peminat muzik tanpa sebab yang kukuh, kini mereka terheret sama dengan permainan politik dua pemimpin yang sedang merebut jawatan presiden sebuah negara paling bebas di dunia itu.
“Tidakkah Nickleback sudah cukup menderita selama ini?” kata seorang warganet Dave Iztkoft dalam ciapannya sambil merujuk kepada fakta band tersebut dibenci banyak pihak walaupun berjaya menghasilkan lagu-lagu yang menarik.
“Pada ketika ini, saya simpati kepada Nickelback,” kata seorang penulis, Gloria Fallon dalam ciapannya.
Ahli-ahli kumpulan Nickelback yang terdiri daripada Chad Kroeger, Ryan Peake, Mike Kroeger dan Ryan Vikedal masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap ciapan Trump itu.
Band tersebut katanya sedang mengadakan persembahan di Brazil.- MalaysiaGazette