Dr. Najmil Faiz

KUALA LUMPUR – Rakyat kini telah ditipu oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan fitnah dan retorik politik mereka bahawa cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah zalim dan dan kejam.

Padahal kata Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris, GST adalah sistem yang terbaik untuk mengukuhkan ekonomi negara tanpa memerlukan hutang dan penjualan aset strategik negara.

Justeru jelas beliau, Kerajaan PH adalah kerajaan yang paling gagal dalam dunia kerana tiada seorang pun pemimpin PH yang memahami asas kepada ekonomi dan pengurusan termasuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Masa depan negara kini dipertaruhkan apabila ditadbir oleh kerajaan PH yang tidak cekap, malah tidak berkeupayaan untuk mentadbir dan akhirnya menjejaskan masa depan kita.

“Keadaan ekonomi dan kewangan negara yang berada dalam tahap membimbangkan akhirnya memaksa kerajaan PH mengakui bahawa GST itu mampu menyelamatkan ekonomi negara.

“GST adalah pengganti kepada cukai jualan dan perkhidmatan yang tidak cekap, rumit dan tidak berfungsi dengan baik, sama ada untuk pengguna atau perniagaan.

“Kini, kerajaan PH tidak mampu mewujudkan sistem percukaian yang sistematik dan akhirnya terpaksa mengimplementasi semula GST,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bersedia untuk mengkaji semula penggunaan GST untuk dilaksanakan selepas dimansuhkan bagi membolehkan Akta Jualan dan Akta Perkhidmatan (SST) dilaksanakan mulai 1 September 2018.

Najmil Faiz menambah sehingga hari ini, kerajaan PH gagal menyelesaikan masalah kewangan negara dan sentiasa menyalahkan kerajaan lepas.

Tegas beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu, Kerajaan PH mengambil langkah mudah dengan menjual aset negara hampir RM30 bilion dan hutang negara juga tidak berkurang, malah semakin bertambah.

“Pada tahun 2016, GST menjana RM41 bilion dan jumlah tersebut telah dikembalikan semula kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 7.28 juta isi rumah yang bernilai hampir RM5.36 bilion dan pelbagai bantuan lain seperti MyBrain15, kad siswa 1Malaysia, bantuan tanaman semula dan sebagainya.

“Semasa BN memerintah, sumber kewangan negara kukuh kerana wujudnya sistem cukai yang sistematik dan kita tidak perlu berhutang dengan negara lain seperti yang berlaku pada hari ini. Kesannya, sumber kewangan negara telah mengalami defisit dan meningkatkan hutang kepada RM1.1 trilion,” katanya. – MalayaiaGazette