KUALA LUMPUR – Insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, tahun lalu yang mengorbankan anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim tidak mungkin dapat dilupakan oleh rakyat di negara ini.

Apatah lagi buat dua orang pemuda iaitu bekas anggota komando dari Rejimen Gerak Khas (RGK), Mohd. Hafizan Nordin dan seorang anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), R. Narresh.

Ini kerana mereka berdua adalah orang yang bertanggungjawab mengeluarkan serta mengejarkan Adib ke hospital dari lokasi tersebut pada hari kejadian walaupun keadaan ketika itu cukup genting dan turut membahayakan nyawa mereka sendiri.

Untuk rekod, ketika kejadian, Hafizan kebetulan sedang memandu kenderaan pacuan empat roda untuk pulang ke rumahnya. Narresh yang ketika itu ternampak kenderaan tersebut, telah menahan Hafizan dan merayu agar Adib segera dibawa ke hospital. Sepanjang perjalanan, Narresh duduk di belakang memangku mangsa hingga sampai di hospital.

Kedua-dua mereka adalah saksi penting dalam inkues kematian anggota terbabit yang dijalankan baru-baru ini.

Beberapa hari lepas, mereka berdua akhirnya dipertemukan kembali dalam majlis tahlil yang diadakan di balai bomba tempat di mana Muhammad Adib bertugas iaitu di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Selangor.

EKSKLUSIF: Bekas komando tak menyesal bantu Adib walau hilang kerja!

Menurut Hafizan yang berasal dari Parit Panjang, Baling, Kedah, beliau terharu kerana dapat bertemu kembali setelah kali terakhir ketika memberikan keterangan di Mahkamah Koroner tidak lama dulu.

“Selain Narresh, bapa Allahyarham, Mohd. Kassim Abd. Hamid, pegawai serta anggota bomba yang terlibat pada hari kejadian juga ada dalam majlis tersebut.

“Malah beliau (Mohd. Kassim) sekali lagi berterima kasih kepada kami semua kerana cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Adib yang ketika parah akibat dipukul perusuh,” katanya pada MalaysiaGazette di sini hari ini.

EKSKLUSIF DISKUS – Narresh Kongsi Detik Cemas Selamatkan Adib

Mahkamah Koroner baru-baru ini memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Mahamariamman USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lepas adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib berkata, mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

Beliau merumuskan kecederaan disebabkan oleh objek tumpul pada dada (blunt chest trauma) yang dialami arwah bukan perbuatan sendiri, tetapi impak perbuatan jenayah oleh lebih daripada dua individu yang berada di tempat kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.