KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang tidak perlu melenting atau mempertikaikan penganjuran Kongres Maruah Melayu oleh universiti awam tempatan (IPTA).
Malah Penasihat DAP itu tidak perlu menabur api kebencian terhadap usaha orang Melayu memperkasakan bangsa sendiri, kata Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah.
“Kit Siang juga tidak perlu cuba mengaitkan etnik atau kaum lain dengan kongres ini dan meletakkan kesalahan ke atas bahu IPTA yang terlibat.
IPTA ini tidak perlu rasa bersalah atau takut dengan ugutan atau permainan rasis Kit Siang ini.
“Apakah menjadi dosa besar empat universiti awam yang majoritinya orang Melayu mahu membincangkan nasib bangsa sendiri?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azwanndin, kenyataan Kit Siang tidak ubah seperti mahu menghina usaha golongan intelektual Melayu yang sayangkan dan cintakan bangsa mereka sendiri.
Kit Siang juga seperti mahu menyekat idea dan sumbangan golongan akademik dan profesional Melayu kepada orang Melayu sendiri yang kini merasa tidak selamat di bawah pemerintahan DAP.
“Lihat sahaja usaha-usaha DAP mahu menggugat kedudukan orang Melayu seperti ratifikasi ICERD, Statut Rom, iktiraf sijil UEC dan penguasaan mereka dalam GLC yang selama ini dikuasai orang Melayu.
“Jadi apabila golongan profesional dan cerdik pandai Melayu berhimpun untuk kepentingan dan kemandirian bangsa sendiri tanpa mengusik hak kaum lain, kenapa perlu Kit Siang menyalak macam anjing tersepit?” soalnya lagi.
Menurut Azwanddin, sudah terang lagi bersuluh kongres itu membincangkan lima perkara penting iaitu hal ekonomi, agama, pendidikan, politik dan kebudayaan.
“Bercakap mengenai soal Perlembagaan dan Rukunegara, patutnya Kit Siang mencermin diri sendiri kerana cuba menuduh kongres itu melanggar dua prinsip tersebut.
“Mana suara Kit Siang ketika kaumnya sendiri melanggar Perlembagaan dan Rukunegara seperti penghinaan terhadap penjawat awam, penghinaan terhadap Jalur Gemilang dan penghinaan terhadap lagu Negaraku?
“Jika betul mahu berlandaskan Perlembagaan, kenapa Kit Siang masih mempertahankan sekolah vernakular yang terang-terangan melanggar asas negara ini,” katanya.
Justeru, katanya, Kit Siang tidak perlu hipokrit dan menjadi hero menentang Kongres maruah Melayu. – MalaysiaGazette