KUALA LUMPUR – Dua puluh enam warga Indonesia termasuk enam wanita ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di Pulau Ketam, Selangor, awal pagi ini.
Dalam serbuan kira-kira 3.00 pagi itu, lima rumah dikenal pasti sebagai ‘lubuk’ transit warga asing yang tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dan bekerja sebagai nelayan, penjaga kelong serta tekong dan awak-awak bot.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua mereka dipercayai masuk dan keluar dari negara jiran secara tidak sah dengan menggunakan laluan tidak diwartakan.
“Ada antara mereka cuba melarikan diri tanpa menghiraukan keselamatan diri sehingga memanjat bumbung rumah dan berlari di bawah rumah yang penuh dengan lumpur dan benda tajam.
“Ini kawasan zon merah yang agak berisiko tinggi kerana pendatang tanpa izin ini akan membuat apa sahaja tindakan untuk mengelak diri mereka daripada ditahan termasuk bertindak agresif terhadap pegawai penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat pintu rahsia dan laluan di sekeliling lima rumah papan itu bagi memudahkan mereka melarikan diri.
Semua pendatang tanpa izin yang ditahan akan disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
Kesemua mereka ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil di sini, untuk siasatan dan tindakan susulan, katanya.
— BERNAMA