KUALA LUMPUR- Seorang warga emas meninggal dunia selepas disyaki membakar diri sendiri dalam kejadian di Kampung Melayu Seri Gombak,Gombak dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada anak mangsa jam 9.10 pagi.

Katanya, kejadian itu hanya disedari anak mangsa selepas melihat bapanya dalam keadaan terbaring di bawah garaj kereta dalam keadaan seluruh badannya terbakar.

“Anak mangsa cuba memadamkan api dengan menyiram air ke atas badan mangsa yang diselubungi kebakaran sehingga api terpadam sebelum terus menghubungi ambulans.

“Mangsa berusia 74 tahun bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,”kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal polis dan maklumat yang diberikan anak mangsa mendapati bapanya mempunyai sakit mental dan masih menjalani rawatan di Hospital Selayang.

Menurutnya, tiada unsur jenayah dikesan dalam insiden itu dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast