KUALA LUMPUR – Filem HASMAH “Bila Deh Bertemu Det” bakal mengangkat sisi perjuangan wanita hebat sebagai isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berbangga kerana tidak banyak filem tempatan yang mengangkat ketokohan wanita yang menjadi tulang belakang kepada seorang pemimpin negara.
“Justeru elemen feminisme dalam sesebuah filem seperti ini akan memberi dimensi segar kepada proses penceritaan, naratif dan landskap sinematik berkaitan tokoh dan pemimpin negara.
“Filem ini harus dilihat bukan sahaja daripada segi konteks kandungannya yang mengangkat sisi perjuangan wanita hebat ini sebagai isteri, ibu dan pemimpin kepada rakyat namun kepentingan filem genre sebegini sebagai khazanah kandungan dan warisan negara,” katanya ketika Majkis Pra Pelancaran filem itu di Pusat Pelancongan Malaysia hari ini.
Filem HASMAH “Bila Deh Bertemu Det” adalah kisah perjalanan hidup Tun Siti Hasmah Ali semenjak remaja bercinta dengan Mahathir sehinggalah mereka mendirikan rumah tangga.
Eddin dalam pada itu menyeru pelabur untuk mengambil peluang untuk dalam industri perfileman dalam negara membantu menjana ekonomi.
“Filem seharusnya menjadi jentera ekonomi budaya yang mampu menjana impak sosioekonomi dan menembusi pasaran dunia,” tambahnya.
Filem bakal diterbitkan Tune Production Sdn Bhd ini dijangka akan memulakan pengambaran pada Mac 2020 selama 40 hari.
Watak Tun Siti Hasmah akan dibawa oleh Nad Zainal manakala Hasnul Rahmat akan memegang watak sebagai Mahathir.
Dijangka filem biopik yang akan membangkitkan nostalgia itu diterbitkan oleh Muhammad Hafiz Rozlan akan menelan belanja RM6 hingga RM7 juta.
Masih belum mengetahui siapa pengarahnya namun pihaknya sedang mempertimbangkang tiga calon iaitu Erma Fatima atau Kabir Bathia. – MalaysiaGazette